Sahabat Sejati Perkukuh Jalinan pada Era Baharu
China dan Cuba perlu mempergiat kerjasama strategik dan bersinergi untuk membina komuniti berkongsi nasib sesama negara.
Presiden China, Xi Jinping berkata demikian semasa mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya dari Cuba, Miguel Diaz-Canel Bermudez di Beijing pada Jumaat.
Pemimpin kedua-dua negara bersepakat terus memperkasa bimbingan politik kepada hubungan bilateral dan memperdalam hubungan persahabatan istimewa pada era baharu.
Komuniti berkongsi nasib China-Cuba antara komuniti seumpama pertama yang dijalinkan China dengan negara-negara Amerika Latin dan Caribbean, sekali gus menentukan hala tuju perkembangan hubungan dua hala pada era baharu.
China kini merupakan rakan dagang barangan paling besar bagi Cuba, manakala Cuba rakan dagang kedua terbesar China di rantau Caribbean. Jumlah perdagangan dua hala menyaksikan peningkatan sebanyak 7.2 peratus pada tahun lepas.
Dalam tempoh lawatan Diaz-Canel kali ini, kedua-dua pihak telah memeterai beberapa dokumen bilateral termasuk yang berkaitan usaha sama membangunkan Jalur dan Laluan, sekali gus memberi momentum baharu kepada kerjasama pragmatik.
Selain itu, kedua-dua pihak turut mengulangi komitmen untuk saling menyokong dalam isu-isu yang melibatkan kepentingan teras, dan memperkasa sinergi dalam urusan antarabangsa dan serantau.
Lawatan pemimpin Cuba dianggap akan memperluas lagi ruang kerjasama antara China dengan negara-negara Amerika Latin.
Setakat ini, China telah memeterai dokumen kerjasama berorientasikan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dengan 21 buah negara di rantau Amerika Latin. Jumlah perdagangan antara China dengan rantau tersebut buat julung kalinya melepasi AS$450 bilion pada tahun lepas.
Menurut analisis, komuniti berkongsi nasib China-Cuba akan berperanan sebagai teladan dan menyumbang kepada perkembangan perkongsian kerjasama komprehensif China-Amerika Latin pada era baharu ini.