Sukan Asia Hangzhou Lancarkan Pembawa Obor Digital

2022-11-28 13:30:24  cri
Share with:

Sukan Asia Hangzhou yang ditangguhkan ke tahun 2023, menyambut kiraan detik 300 hari pada 27 November 2022.

Dalam upacara sambutan tersebut, Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou turut melancarkan ‘pembawa obor digital’ Sukan Asia kepada dunia.

Ketua Pengarah Majlis Olimpik Asia (OCA), Husain Al-Musallam ketika menyampaikan ucapan menerusi pautan video turut mengeluarkan undangan kepada tetamu dari seluruh dunia untuk bersama-sama ikut serta dalam aktiviti tersebut.

Menurut penjelasan pihak penganjur, pembawa obor digital merujuk kepada identiti digital yang dimiliki individu dalam dunia Sukan Asia digital. Ia juga akan membolehkan serta menarik lebih ramai orang menyertai Sukan Asia.

Difahamkan, warganet dari seluruh dunia boleh menjadi pembawa obor digital Sukan Asia dengan menyertai aktiviti seperti ‘Sayangi Sukan, Sayangi Kesejahteraan Awam, dan Sayangi Hijau’ melalui aplikasi rasmi Sukan Asian Hangzhou.

Selepas berdaftar menjadi pembawa obor digital, peserta akan memiliki hak digital yang mewakili identiti digital, termasuk imej digital, pakaian digital dan kostum digital obor Xinhuo.  

Menurut Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Hangzhou, lebih banyak aktiviti digital akan diadakan untuk memberikan pengalaman dalam talian yang lebih menyeluruh kepada peminat Sukan Asia.

Pada masa sama, pihak penganjur juga akan terus melancarkan siri aktiviti larian obor secara dalam talian.

Bagi warganet yang mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti tersebut, masing-masing akan diberikan sijil blockchain dan peluang untuk menang tiket majlis perasmian Sukan Asia Hangzhou.

Pihak penganjur berharap siri aktiviti pembawa obor digital Sukan Asia akan memberi pengalaman baharu Sukan Asia, selain memperluaskan daya tarikan Zhejiang dan China dalam teknologi digital kepada seluruh dunia.