China Seru Kerjasama Masyarakat Antarabangsa bagi Penyelesaian Isu Palestin

2022-12-01 14:06:49  CRI
Share with:

China menyeru kerjasama masyarakat antarabangsa bagi menyelesaikan isu Palestin secara komprehensif dan adil.

Naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang ketika menyampaikan ucapan dalam sesi perbahasan Perhimpunan Agung PBB mengenai isu Palestin dan situasi di Asia Barat pada Rabu menyifatkan China sebagai sahabat sejati bagi rakyat Palestin dan penyokong teguh bagi pewujudan keamanan antara Palestin dan Israel.

"Dalam konteks ini, China yang sentiasa memihak kepada yang menganjurkan keamanan, keadilan dan kebenaran, memilih menggalakkan Palestin dan Israel mengejar keselamatan bersama.

"Masyarakat antarabangsa perlu menghulurkan bantuan kepada Palestin menerusi pelbagai saluran,"katanya.

Geng berkata, China menggesa agar "Penyelesaian Dua Negara" dilaksanakan secara menyeluruh.

"Menyelesaikan isu Palestin untuk suatu jangka masa yang panjang berdasarkan 'Penyelesaian Dua Negara'adalah konsensus antarabangsa dan satu-satunya jalan keluar.

"Masyarakat antarabangsa perlu bertindak untuk melaksanakan konsensus 'Penyelesaian Dua Negara' agar merealisasikan visi tersebut," kata Geng.

Geng turut berkata, China menyokong penubuhan Negara Palestin yang berdaulat dan merdeka sepenuhnya berdasarkan sempadan yang digariskan pada 1967 dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negaranya.

"China menyokong Palestin dan Israel hidup bersama secara damai dan pembangunan bersama kedua-dua bangsa Arab dan Yahudi. 

"Sebagai anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan negara besar yang bertanggungjawab, China akan terus bekerjasama dengan masyarakat antarabangsa untuk mengamalkan multilateralisme sebenar dan menyumbang kepada penyelesaian isu Palestin yang komprehensif, adil dan berkekalan, pewujudan keamanan yang berkekalan, keselamatan pada umumnya dan kemakmuran bersama di rantau Asia Barat,” katanya.