Kerjasama Penting bagi China dan EU

2022-12-02 13:26:55  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping mengadakan perbincangan dengan Presiden Majlis Eropah, Charles Michel di Beijing pada Khamis.

Presiden Xi mengemukakan cadangan bagi mengeratkan hubungan bilateral dengan harapan EU boleh menjadi rakan penting bagi China sepanjang pembangunan modenisasi, manakala Charles Michel pula menyatakan pihaknya bersedia menjadi rakan kerjasama China yang dapat dipercayai dan dijangkakan. Ini mencerminkan aspirasi positif kedua-dua pihak bagi mendorong hubungan bilateral berkembang maju.

China dan EU merupakan dua kuasa penting dalam pemeliharaan keamanan dunia dan dua pasaran utama yang dapat menggalakkan pembangunan bersama, manakala melambangkan dua tamadun yang mampu memacu kemajuan umat manusia. 

China sentiasa berpandangan jauh dan strategik dalam menjalinkan hubungan dengan EU. Presiden Xi dalam perbincangan itu menegaskan, China berkeyakinan dan berkeupayaan untuk mengekalkan kestabilan sistem, tadbir urus dan pelaksanaan dasar domestik, sambil menyumbang kepada masyarakat antarabangsa yang juga memerlukan kestabilan. 

Cadangan yang dikemukakan Presiden Xi, iaitu ‘China dan EU perlu terus mengamalkan nilai-nilai yang betul, menangani percanggahan dengan baik, menjalankan kerjasama bertahap lebih tinggi dan meningkatkan penyelarasan dan kerjasama dalam hal ehwal antarabangsa’, berperanan menggariskan hala tuju perkembangan hubungan kedua-dua pihak.

Charles Michel pula dalam perbincangan itu komited EU berpegang kepada prinsip ”Satu China”, menghormati kedaulatan dan keutuhan wilayah China dan tidak akan mencampuri urusan dalaman negaranya.

Komitmen tersebut, asal saja dapat ditunaikan EU, akan meletakkan dasar politik yang kukuh untuk perkembangan hubungan China-EU ke arah yang stabil.

Kerjasama dalam bidang ekonomi dan perdagangan merupakan telapak dalam hubungan China-EU. Jumlah perdagangan kedua-dua pihak mencatat USD711.4 bilion (RM3.13 trilion) pada 10 bulan pertama tahun ini yang menyaksikan peningkatan 6.3 peratus. China kekal menjadi rakan dagang terbesar bagi EU, manakala EU kekal rakan dagang kedua besar bagi China.

Dalam konteks ini, China mencadangkan kedua-dua pihak terus menyelaraskan pelaksanaan dasar ekonomi makro, membina enjin yang baharu dalam aspek ekonomi digital, perlindungan persekitaran, tenaga baharu dan kecerdasan buatan, bersama-sama menolak seruan dan amalan yang bertujuan ‘mencantas hubungan’, mempergiatkan perlindungan perdagangan dan mempolitikkan program pertukaran dalam bidang ekonomi, perdagangan, sains dan teknologi.

Pihak Eropah pula menyatakan kesediaan untuk mendorong proses Perjanjian Komprehensif Pelaburan (CAI) EU-China maju terus, memupuk rasa saling percaya dalam bidang rantaian bekalan bagi memperkasa kerjasama bilateral yang sama menang dalam pelbagai bidang.

Boleh dijangka, Eropah akan mendapat peluang besar seiring dengan peningkatkan tahap keterbukaan yang konsisten di China, dan kedua-dua pihak sama sekali boleh mewujudkan pencapaian yang sama menang.