Kabinet Malaysia Baharu Angkat Sumpah

2022-12-04 14:25:02  CRI
Share with:

Anggota Kabinet baharu Malaysia mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara Kuala Lumpur pada Sabtu.

Perdana Menteri baharu, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir menyaksikan majlis itu.

Dalam kabinet baharu tersebut, dua jawatan Timbalan Perdana Menteri masing-masing dijawat oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Datuk Sri Fadillah Yusof dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Datuk Seri Anwar Ibrahim juga memegang portfolio Menteri Kewangan Malaysia, manakala Senator Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggalas tanggungjawab sebagai Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Rembau Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai Menteri Pertahanan negara itu.

Ketika mengumumkan senarai menteri kabinet baharu Malaysia pada Jumaat lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan baharu akan menumpu kepada menggalakkan pertumbuhan ekonomi dan berfokus pada melaksanakan inisiatif yang boleh meringankan beban rakyat.