OKU Tawar Latihan Percuma untuk 4,800 Insan Senasib

2022-12-05 15:20:39  CRI
Share with:

Wang Shaojun, 53, pada waktu kecilnya sangat lincah di atas padang sukan.

Namun, pada usia 17 tahun, Wang mengalami mimpi ngeri apabila didiagnosis menghidap penyakit distrofi otot peroneal.

Penyakit itu dikatakan merosak dan melemahkan otot secara perlahan-lahan hinggakan pesakit tidak dapat berdiri pada akhirnya. 

Meskipun berjaya melangkah ke menara gading, Wang tidak pernah berkongsi tentang keadaannya kepada rakan-rakan.

Selepas tamat pengajian, Wang terus bekerja sehingga penyakitnya bertambah teruk pada tahun 1999.

Pada saat itu, dia mula berfikir dan membuat rancangan untuk mencari rezeki dan nafkah hidup untuk masa depan.

Dengan penuh semangat juang, Wang merebut peluang kerjaya dalam sektor Internet yang baru mula membangun pesat pada awal abad ke-21. 

Dia akhirnya berjaya membuka pusat urus niaga bawang putih yang pertama.

Setiap hari, Wang akan duduk meneliti harga dagangan masa nyata bawang putih hingga berjaya mendapat keuntungan yang besar.

Selepas itu, dia mula mencari erti kehidupan dan mendapati bahawa ramai yang senasib dengannya masih belum keluar dari kegelapan hidup mereka.

Selaku orang kurang upaya (OKU), Wang memahami kesusahan hidup kebanyakan OKU yang hanya dapat duduk di rumah dijaga anggota keluarga mereka dan tiada peluang pekerjaan. 

Dia mahu mengubah keadaan seumpama bagi membolehkan lebih ramai OKU keluar dari rumah untuk mencari rezeki dan hidup berdikari dalam masyarakat.

Pada 2015, Wang mengeluarkan wang simpanan sendiri untuk menubuhkan pangkalan latihan pekerjaan dan keusahawanan OKU.

Pangkalan itu menawarkan latihan pekerjaan dan penginapan percuma untuk golongan berkenaan.

Wang menyatakan bahawa pendidikan dan pekerjaan adalah satu-satunya wahana untuk OKU menjadi lebih kuat dan berdikari. 

"Kalau tiada pendapatan, golongan itu tiada maruah kerana mereka hanya akan melihat diri sebagai beban bagi keluarga dan masyarakat," katanya.

Untuk membolehkan lebih ramai OKU mendapat peluang pekerjaan, Wang menyediakan program latihan yang sesuai untuk golongan itu seperti penyuntingan video pendek serta teknik menghasilkan seramik dan fabrik buatan tangan. 

Pangkalan yang ditubuhkan atas inisiatif Wang telah membantu melatih lebih 4,800 orang OKU dalam tempoh lapan tahun lalu.