China Gesa Kurangkan Kesan Limpahan Krisis Ukraine

2022-12-07 14:31:26  CRI
Share with:

China menggesa usaha sedaya upaya dilakukan untuk mengurangkan kesan limpahan krisis Ukraine, di samping menggalakkan penyambungan semula rundingan agar isu berkenaan diselesaikan melalui saluran politik.

Gesaan dibuat menerusi naib wakil tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Geng Shuang dalam mesyuarat terbuka Majlis Keselamatan PBB mengenai situasi kemanusiaan di Ukraine, pada Selasa.

"Usaha pengantaraan perlu terus ditingkatkan untuk menggalakkan pihak-pihak terbabit memulihkan rundingan dan mencapai gencatan senjata secepat mungkin," kata beliau.  

Geng turut menekankan perlunya berpegang pada pendekatan berpaksikan rakyat dan memprioritikan kemanusiaan dalam mendepani krisis global yang kompleks itu. 

Menurut beliau, krisis makanan dan tenaga yang dihadapi dunia dewasa ini bukan masalah pengeluaran dan permintaan, tetapi disebabkan gangguan rantaian bekalan serta kerjasama antarabangsa.

"China berpendirian tegas menentang tindakan mempolitikkan isu makanan dan tenaga atau menggunakannya sebagai alat dan senjata,” katanya sambil menggesa supaya sekatan unilateral ditarik balik.

Tambah Geng, usaha perlu dilipatgandakan untuk mengekalkan momentum pemulihan ekonomi global dan mengurangkan impak terhadap pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 PBB di negara-negara membangun.