Cerita China-Arab: Keikhlasan, Kepercayaan dan Sokongan

2022-12-08 15:13:43  CRI
Share with:

Sebelum Piala Dunia Qatar dirasmikan, beberapa kumpulan politik dari Barat menggembar-gemburkan tindakan “boikot diplomatik” dengan alasan “hak asasi manusia”. Namun China memberikan sokongan politik yang teguh kepada Qatar, menyuarakan solidariti kepada tuan rumah Piala Dunia itu melalui pelbagai saluran, serta membantah keras tindakan mempolitikkan sukan.

Setakat ini, China telah menjalin hubungan perkongsian strategik atau perkongsian strategik komprehensif dengan 12 negara Arab dan Liga Arab.

“Kepercayaan ini tidak dapat dipecahkan dan tidak dapat dibeli dengan wang”. Presiden China, Xi Jinping berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di ibu pejabat Liga Arab pada Januari 2016.

Apabila Wenchuan mengalami gempa bumi dahsyat pada 2008, Arab Saudi segera menghulurkan bantuan wang dan barang bernilai USD60 juta kepada negara ini.

Semasa negara-negara Arab berdepan penularan COVID-19, China beberapa kali menghantar kumpulan pakar perubatan seramai kira-kira 100 orang ke negara-negara terlibat. Selain itu, China bekerjasama dengan Mesir untuk membina talian pengeluaran vaksin COVID-19 pertama di Afrika, menyediakan vaksin kepada Jordan, Syria, Lubnan dan pelarian di Palestin. Sehingga Oktober 2022, China telah memberikan lebih 340 juta dos vaksin kepada negara-negara Arab.

Hubungan China-Arab terjalin melalui Jalan Sutera. Kedua-dua pihak menjadi rakan kerjasama semula jadi dalam pembinaan Jalur dan Laluan (BRI). Sehingga kini, China telah menandatangani dokumen kerjasama dengan lebih 20 negara Arab dan Liga Arab membabitkan pembinaan bersama BRI.

Dalam isu Palestin, teras isu Asia Barat, Presiden Xi telah mengutus surat tahniah kepada Persidangan Peringati “Hari Antarabangsa Perpaduan dengan Orang Palestin” selama 10 tahun berturut-turut.

Selain itu, China mengemukakan lima inisiatif untuk mewujudkan keselamatan dan kestabilan di Asia Barat, empat cadangan untuk menyelesaikan isu Syria melalui cara politik, serta tiga idea untuk melaksanakan penyelesaian dua negara Palestin-Israel.

Majlis Menteri Luar Liga Arab dalam sesi ke-158 yang diadakan pada September lalu memuji usaha diplomatik China untuk menyokong Arab, menyelesaikan krisis serantau secara damai serta mendorong kedamaian dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Pada masa ini, pertukaran dan hubungan antara China dengan negara-negara Arab ditingkatkan lagi. Orang awam memberi harapan tinggi terhadap lonjakan kerjasama China-Arab ke tahap yang lebih tinggi. Seorang penyair Arab berkata, “apabila menghadap matahari, anda pasti akan nampak harapan”. Kerjasama China-Arab yang saling menang dan tetap menghadap matahari pasti akan membawa lebih banyak harapan kepada dunia.