Tiga Tahun Saksi China Tingkat Tahap Tadbir Urus: Pakar NHC

2022-12-09 12:43:33  CRI
Share with:

Selepas tiga tahun memerangi wabak COVID-19, keupayaan dan tahap tadbir urus China dalam pelbagai aspek didapati meningkat dengan ketara.

Demikian ujar ketua panel pakar tindak balas COVID-19 Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC), Liang Wannian dalam satu temu bual bersama Kumpulan Media China (CMG).

Menyentuh aspek ubat-ubatan, Liang berkata perubatan tradisional Cina terbukti berkesan dan ubat terapeutik yang baharu juga diperkenalkan.

Selain itu, sistem pimpinan kecemasan serta keupayaan dan mekanisme pengendalian wabak peringkat akar umbi menjadi semakin cekap dan lancar.

Apabila diminta mengulas berhubung keputusan kerajaan melonggarkan sekatan COVID-19, Liang menyifatkannya sebagai langkah penambahbaikan.

“Ia bukan pelonggaran dan pembukaan mutlak, atau dilakukan secara terpaksa.

“Langkah baharu itu akan membantu kami mengendalikan penularan wabak secara lebih saintifik, aktif dan bersasar, di samping pembangunan ekonomi lebih berdaya tahan dan masyarakat dapat menyesuaikan diri dengan keadaan baharu,” kata beliau.

Pada masa sama, Liang turut menekankan peri pentingnya mempercepat pemvaksinan bagi warga emas untuk membantu mereka membina sistem imun yang kuat.

“Ia akan mengelak atau mengurangkan jangkitan teruk serta mencegah kematian,” tambah beliau.