China, Arab Saudi Rakan Kongsi Strategik dan Sahabat Sejati

2022-12-10 13:56:07  CRI
Share with:

 

China dan Arab Saudi, walaupun terletak di timur dan barat benua Asia, tetapi telah menjalin hubungan persahabatan dan interaksi sejak zaman dahulu lagi.

Pada 2016, Arab Saudi menjadi negara Arab pertama yang dikunjungi oleh Xi Jinping selepas beliau menjawat jawatan Presiden China. Dalam lawatan itu, China dan Arab Saudi mengumumkan penjalinan hubungan perkongsian strategik komprehensif dan memutuskan untuk menubuhkan jawatankuasa bersama peringkat tinggi China-Arab Saudi.

Enam tahun kemudian, Arab Saudi menjadi negara Asia Barat pertama yang dilawati Presiden Xi selepas Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC). Dalam situasi baharu ketika ini, kedua-dua negara ini memperkukuh kesalingpercayaan politik, mempergiat kerjasama ekonomi, dan meningkatkan interaksi sosiobudaya, bukan hanya selaras dengan kepentingan pembangunan kedua-dua negara, bahkan juga kondusif bagi memelihara keamanan dan kestabilan dunia.

“Kepentingan China juga adalah kepentingan Arab Saudi.” Kenyataan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al Saud tersebut menarik perhatian orang awam. Dalam lawatan Presiden Xi itu, kedua-dua pihak China dan Arab Saudi menegaskan sokongan padu politik antara satu sama lain.

Dalam pada itu, kerjasama ekonomi dan perdagangan dianggap daya penggerak kepada peningkatan persahabatan antara China dengan Arab Saudi. Walaupun menghadapi penularan wabak COVID-19, jumlah perdagangan dua hala antara China dan Arab Saudi tetap menyaksikan peningkatan sebanyak 30% pada tahun 2021.

Semasa mengadakan pertemuan dengan Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman Al Saud pada Khamis, Presiden Xi menyatakan sokongan China kepada siri inisiatif pembangunan Arab Saudi termasuk Visi 2030 dan Asia Barat Hijau. Ini telah menunjukkan hala tuju kepada kerjasama ekonomi dan perdagangan antara China dan Arab Saudi pada masa akan datang.

Visi 2030 Arab Saudi ialah pelan tindakan yang bercita-cita tinggi. Tujuannya adalah untuk menjadikan Arab Saudi secara beransur-ansur mengurangkan kebergantungannya kepada pendapatan minyak, sehingga menjadi nadi dunia Arab, pusat pelaburan global dan hab global yang menghubungkan ketiga-tiga benua Asia, Eropah dan Afrika.

Untuk mencapai sasaran tersebut, Arab Saudi perlu menjalankan banyak pembinaan prasarana dan pembangunan industri tenaga bukan konvensional, dan ini yang mempunyai banyak persamaan dengan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Perkongsian strategik komprehensif China-Arab Saudi yang semakin ditingkatkan diyakini akan membawa harapan lebih indah kepada rakyat kedua-dua pihak, sekali gus memberi sumbangan yang lebih besar kepada keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat, serta menggalakkan pembangunan dan kemakmuran dunia.