Hubungan UAE, Arab Saudi Kukuh dan Mampan

2022-12-12 11:56:45  CRI
Share with:

Pemerkasaan perkongsian strategik yang kukuh dan mampan antara Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan Arab Saudi selaras dengan kepentingan bersama kedua-dua negara dan rakyat, kata Menteri Luar UAE, Sheikh Abdullah bin Zayed Al Nahyan.

Semasa pertemuan bersama rakan sejawatnya dari Arab Saudi, Putera Faisal bin Farhan di Abu Dhabi pada Ahad, Sheikh Abdullah berkata perkara itu juga bermanfaat untuk memelihara kestabilan dan keselamatan rantau malah dunia.

Beliau turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Putera Faisal atas kejayaan Sidang Kemuncak China-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan Sidang Kemuncak China-Negara Arab yang diadakan di Riyadh.

“Sesi sidang berkenaan akan membantu mengukuhkan hubungan dua hala yang sudah membuahkan hasil antara negara-negara di rantau ini dengan China.

“Ia juga akan meningkatkan pembangunan mampan pihak terbabit dalam bidang ekonomi, di samping memberi kesan positif kepada keselamatan, kestabilan dan kemakmuran rantau ini,” kata Sheikh Abdullah.