PERSAHABATAN BAGAI “AUR DENGAN TEBING”
Baru-baru ini, Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC) telah menandatangani memorandum persefahaman bersama Universiti Sains Malaysia di Dewan Budaya USM. YBhg Dato’ Abdul Majid Ahmad Khan, Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China dan YBhg Prof. Dato’ Gs. Dr. Narimah Samat, Timbalan Naib Canselor(Akademik & Antarabangsa) yang menjalankan fungsi Naib Canselor telah menyempurnakan majlis menandatangani memorandum persefahaman tersebut yang turut disaksikan oleh Profesor Madya Dr. Jasni Sulong, Dekan PPIK USM, dan Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah, Penasihat Eksekutif Kanan Persatuan Persahabatan Malaysia-China.
Antara hasrat utama memorandum persefahaman tersebut termasuklah bekerjasama dalam pelaksanaan aktiviti pertukaran pendidikan dan kebudayaan khasnya melibatkan belia Malaysia dan China. Selain itu juga, kedua-dua pihak akan melihat potensi kerjasama akademik, pembangunan penyelidikan, kerjasama latihan dan pertukaran penerbitan. Hal ini secara langsung mewujudkan satu kerjasama yang progresif bagi meningkatkan hubungan persahabatan Malaysia-China.
PPMC yang merupakan sebuah badan bukan kerajaan yang telah ditubuhkan pada tahun 1992 ini sentiasa menfokuskan usaha-usaha meningkatkan hubungan baik Malaysia-China yang merentasi aktiviti sosial, budaya, pendidikan, belia, sukan dan aktiviti-aktiviti lain yang melibatkan kedua-dua buah negara.
Dato’ Abdul Majid mengucapkan terima kasih kepada USM yang bersedia menjadi rakan strategik PPMC. Antara aktiviti-aktiviti yang pernah dilaksanakan oleh PPMC sebelum ini adalah Program Khidmat Bakti dan Sosial belia Malaysia-China, majlis berbuka puasa, permainan bola keranjang, sesi forum dan banyak lagi. Keutamaan ketika ini adalah program-program yang melibatkan belia Malaysia-China.
Belia merupakan pewaris masa depan, amat penting untuk mereka mempunyai asas pemahaman dan semangat persahabatan yang tinggi dalam memastikan kelestarian hubungan bilateral yang terbina pada 48 tahun yang lepas. Masih terngiang-ngiang di fikiran penulis kata-kata “Nama Malaysia menjadi harum di seluruh dunia dan keharuman ini tidak pernah mencapai ke peringkat tinggi seperti yang ada sekarang,” kata Tun Abdul Razak Hussein sekembalinya dari China.
Sebelum majlis bermula, Dato’ Majid juga telah bertemu dan beramah mesra dengan 32 orang pelajar antarabangsa dari China yang sedang mengikuti Program Pemindahan Kredit Bahasa Melayu (PROPERBM), Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM. Perkongsian ilmu dan pengalaman sebagai mantan Duta Besar Malaysia ke China menjadikan sesi ramah mesra tersebut amat bermakna kepada para pelajar berkenaan. Sesi pertemuan dan perbincangan dua hala antara pihak PPMC dan USM juga telah diadakan bagi membincangkan secara terperinci kerjasama lanjut yang bakal diadakan.
Semasa sesi ramah mesra, para pelajar juga mengambil peluang untuk mempromosikan universiti-universiti mereka iaitu Universiti Pengajian Asing Sichuan, Universiti Minzu Yunnan dan Universiti Pengajian Asing Guangdong. Universiiti ini adalah merupakan 3 buah daripada 10 buah universiti yang sedang menawarkan pengajian Bahasa Melayu di China. Salah seorang pelajar iaitu Saudari Pi Jiayi atau nama melayunya Khaira dari Universiti Pengajian Asing Sichuan berkongsi bahawa beliau sangat gembira dapat berada di Malaysia dan mengikuti pengajian di USM. Ini memberi peluang untuk lebih mendalami pembelajaran Bahasa Melayu dan memahami kebudayaan Malaysia dengan baik. Khaira berhasrat untuk terus menjadi penghubung dan menyampaikan informasi yang baik dari China dan Malaysia bagi menyokong persahabatan Malaysia dan China.
Program sebegini sudah pasti mendapat sokongan dan kerjasama yang baik dari Kementerian Luar Negeri Malaysia dan China. Juga dimaklumkan bahawa kerjasama pihak Dewan Bahasa dan Pustaka, PADU KPM dan Bahagian Education Malaysia, Jabatan Pendidikan Tinggi yang telah menyumbangkan buku dan cenderamata kepada pelajar-pelajar yang mengikuti program PROPERBM. Mereka sudah pastinya bertindak sebagai duta kecil Malaysia-China bagi memastikan adanya kerjasama bersepadu dalam menggerakkan agenda diplomasi pendidikan antara kedua-dua buah negara.
Selain itu, kita dapat melihat kesungguhnya dan komitmen yang tinggi pihak Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM dalam menggerakkan program PROPERBM. Usaha ini perlu dipuji dan diharapkan lebih banyak institusi pendidikan tinggi Malaysia yang ada tampil untuk bekerjasama dan melaksanakan agenda pengantarabangsaan Bahasa Melayu khasnya di China.
Program PROPERBM ini memberi peluang kepada pelajar-pelajar ini mengikuti program ini selama tahun dan memenuhi keperluan politik, ekonomi dan sosial semasa serta lebih berdaya saing sekali gus melengkapkan penyelidik dengan pelbagai kecekapan dan kemahiran dunia Melayu.
Penulis bersama dengan para tetamu yang hadir sangat teruja dengan kesungguhan para pelajar ini yang baharu sahaja dua tahun mengikuti pengajian China namun dapat berucap dan menyampaikan mesej Bahasa Melayu dengan baik sekali. Semangat seperti ini akan terus dibugarkan dengan sokongan dan kerjasama daripada semua pihak.
Kesempatan dalam majlis tersebut juga penulis telah bersama-sama mendengar sesi Syarahan Perdana Bahasa Melayu yang bertajuk Kelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma yang dibentangkan oleh Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul. Beliau telah membentangkan peranan Bahasa Melayu, cabaran memartabatkan Bahasa Melayu, kelestarian Bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu melayari zaman. Beliau menyimpulkan bahawa Bahasa Melayu merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasa setiap warga kerana ia bukannya milik orang Melayu, sebaliknya Bahasa Melayu adalah milik semua.
Penulis yakin dan terus mendambakan usaha yang berterusan daripada semua pihak dan diterjemahkan melalui bait-bait puisi ini:-
Percayalah..
Bahasa Jiwa Bangsa
Membina Peradaban Dunia
Dengan semangat kita yang sama
Tiada Indah selain bahasa
Untuk mengenali sesama kita
Andai esok kita terlupa
Kembalilah kita pada yang nyata
Hakikat kita tidak berpura
Untuk menyelami apa indahnya
Bahasa pengikat jiwa dan raga
Menjadi tunjang keamanan dunia
Pepatah Melayu berbunyi “Bagai aur dengan tebing” menjadi asas bagi kerjasama ini untuk terus mengorak langkah memperkukuhkan persahabatan dan menelurusi masa depan yang gemilang antara Malaysia dan China.
Penulis :
Ts. Haji Abdul Aziz How Abdullah
Penasihat Eksekutif Kanan Persatuan Persahabatan Malaysia-China
(Sumber dari Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia)