Ganding Bahu Dorong Simbiosis Manusia dan Alam: Xi

2022-12-16 11:39:08  CRI
Share with:

Presiden China Xi Jinping menyampaikan ucapan melalui pautan video sempena perasmian segmen peringkat tinggi fasa kedua mesyuarat ke-15 Persidangan Pihak-Pihak (COP15) Konvensyen Diversiti Biologi (CBD) yang berlangsung di Montreal, Kanada pada Khamis.

Xi menyeru semua pihak berganding bahu mendorong simbiosis antara manusia dan alam, bersama-sama membina komuniti makhluk Bumi dan dunia yang bersih dan indah.

Beliau menyarankan sinergi dibentuk untuk membina konsensus global mengenai perlindungan kepelbagaian biologi, dan menggubal ‘kerangka biodiversiti global pasca 2020’ bagi menetapkan matlamat dan pendekatan untuk usaha berkenaan.

Beliau turut menekankan perlunya mendorong proses global bagi perlindungan biodiversiti, memacu pembangunan hijau menerusi perlindungan biodiversiti, di samping memelihara order global yang adil dan munasabah bagi perlindungan biodiversiti.  

Katanya, China akan terus memperkasa pembangunan tamadun ekologi dan merencanakan pembangunan berlandaskan simbiosis antara manusia dan alam.

China komited menyahut Pelan Tindakan Dekad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Pemulihan Ekosistem, di samping memperdalam pertukaran dan kerjasama antarabangsa.

China juga akan terus menghulurkan sokongan dan bantuan sedapat mungkin kepada negara membangun dalam usaha berkenaan, sekali gus menggerakkan tadbir urus biodiversiti global ke satu tahap baharu.