Ekonomi China Janjikan Peluang Baharu Buat Dunia

2022-12-18 14:06:12  CRI
Share with:


Persidangan Kerja Ekonomi Pusat diadakan di Beijing pada Khamis hingga Jumaat. Selain membuat rumusan terhadap kerja ekonomi tahun ini, sidang itu juga menganalisis situasi ekonomi semasa dan mengatur kerja selanjutnya untuk tahun depan.

Persidangan itu menegaskan perlunya menyelaraskan dengan lebih baik usaha pencegahan COVID-19 dengan pembangunan sosioekonomi.

Komitmen itu dianggap bakal membantu ekonomi China pulih dengan lebih cepat, sekali gus memberi momentum lebih kuat kepada pertumbuhan ekonomi global.

Usaha meningkatkan permintaan domestik antara perkara yang turut menjadi tumpuan dalam persidangan kali ini.

Dengan populasi melebihi 1.4 bilion dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita yang mececah AS$12,000 (kira-kira RM53,000), China mempunyai pasaran perbelanjaan yang paling berpotensi di dunia.

Permintaan domestik yang terus diperluas sudah tentu akan menyediakan lebih banyak peluang kepada syarikat pelbagai negara.

Persidangan itu juga menegaskan perlunya mendorong keterbukaan bertaraf tinggi dan memperkasa usaha menarik dan menggunakan modal asing.

Menurut statistik, jumlah penggunaan sebenar modal asing oleh China bagi Januari hingga Oktober 2022 meningkat sebanyak 14.4 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.  

Mutakhir ini, satu tinjauan mendapati bahawa majoriti syarikat Jerman dan Australia bersikap optimistik terhadap peluang dan keuntungan diraih dari pasaran China pada masa hadapan.

Pembangunan China tidak boleh dipisahkan daripada dunia, sementara pembangunan dunia juga memerlukan China.  

Persidangan Kerja Ekonomi Pusat yang diadakan pada akhir tahun ini memaparkan daya ketahanan ekonomi China, potensi besar pasaran, kedinamikan usaha inovasi serta iltizamnya untuk memperluas keterbukaan.