China, Cote d'Ivoire Komited Tingkatkan Kerjasama

2022-12-21 13:33:40  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping mengadakan perbualan telefon dengan rakan sejawatnya dari Cote d'Ivoire, Alassane Ouattara pada petang Selasa.

Presiden Xi menyifatkan Cote d'Ivoire sebagai rakan kerjasama penting bagi China di Afrika.

“Tahun depan merupakan ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik China-Cote d'Ivoire dan patut diperingati bersama.

“Terdapat prospek yang luas dalam kerjasama China-Cote d'Ivoire. China bersedia memperkasa kerjasama dengan Cote d'Ivoire dalam segenap aspek, mengembangkan perdagangan hasil pertanian, meningkatkan kerjasama dalam penanaman dan pemprosesan padi dan koko, khasnya menyokong usaha Cote d'Ivoire dalam mempergiatkan pembangunan industri koko sebagai tunjang ekonomi,” kata Xi.

Beliau turut berharap projek-projek yang dikontrak pihak China di Cote d'Ivoire akan siap dibina secepat mungkin serta membawa keberkesanan.

“China bersedia terus menggalakkan perusahaan domestiknya melabur dan menjalankan perniagaan di Cote d'Ivoire bagi mengembangkan kerjasama dua hala dalam bidang yang melibatkan ekonomi digital dan tenaga baharu,” kata Xi.

Presiden Xi juga menambah bahawa China bersedia bekerjasama dengan negara-negara Afrika termasuk Cote d'Ivoire untuk memelihara kesaksamaan dan keadilan antarabangsa serta kepentingan bersama negara membangun.

Alassane Ouattara pula berkata, pihaknya berpegang teguh kepada dasar satu China, tegas menyokong amalan multilateralisme, dan secara aktif menyokong Inisiatif Jalur dan Laluan.

“Cote d'Ivoire mengalu-alukan lebih banyak perusahaan China melabur dalam bidang pemprosesan koko dan industri lain di negaranya untuk menggalakkan proses perindustrian.

“Cote d'Ivoire bersedia terus mengukuhkan kerjasama dengan China dalam kerangka Forum Kerjasama Afrika-China dan mengekalkan komunikasi dan penyelarasan rapat mengenai hal ehwal serantau dan antarabangsa,” kata Alassane Ouattara.