Kemajuan Boleh Didambakan dalam Perlindungan Biodiversiti Global

2022-12-21 11:51:41  CRI
Share with:

Wakil pelbagai pihak yang telah menunggu selama hampir 10 jam bertepuk tangan gemuruh sebaik saja pengerusi Persidangan Pelbagai Pihak ke-15 (COP15) Konvensyen Biodiversiti Bangsa-Bangsa Bersatu (CBD) mengetuk palu sebagai tanda menyambut perjanjian “Rangka Biodiversiti Global Kunming-Montreal” diluluskan.

Perjanjian yang disifatkan sebagai “tonggak sejarah” ini diluluskan setelah berakhirnya rundingan masyarakat antarabangsa selama 4 tahun, sekali gus memperlihatkan hasrat dan keazaman pelbagai pihak untuk mendorong perlindungan biodiversiti global.

“Rangka” tersebut terdiri daripada 23 matlamat yang terperinci, antaranya yang paling penting dan bermakna adalah membuat komitmen untuk menjadikan sekurang-kurangnya 30% darat, kawasan akuatik pedalaman dan laut sebagai zon perlindungan menjelang 2030. Matlamat tersebut dipanggil sebagai matlamat “3030”. Kenapa seharusnya “30%”? Ini disebabkan “30%” dianggap paras paling rendah berhubung alam sekitar yang diperlukan manusia untuk mengekalkan kehidupan dan pembangunan asas. Tetapi, hanya terdapat 17% tanah dan 8% laut yang berada dalam keadaan terpelihara buat masa kini.


Sementara itu, menurut “rangka” tersebut, modal sebanyak USD200 bilion (RM888 bilion) akan digunakan setiap tahun menjelang 2030 dalam pelaksanaan rancangan tindakan dan strategi biodiversiti  di peringkat kebangsaan. Dalam pada itu, negara-negara maju perlu membekalkan sekurang-kurangnya USD20 bilion (RM89 bilion) kepada negara-negara membangun pada setiap tahun menjelang 2025, manakala USD30 bilion (RM133bilion) setiap tahun menjelang 2030.

China sebagai negara pengerusi COP15, telah memainkan peranan peneraju dalam menyelaraskan pelbagai pihak dan mendorong proses persidangan berkenaan. Presiden China Xi Jinping pernah dua kali menyampaikan ucapan untuk menegaskan pembinaan bersama “Komuniti Berkongsi Nyawa Global” yang dianggap panduan bagi perlindungan biodiversiti global.

Tahun ini ulang tahun ke-30 CBD. Pelbagai pihak bukan sahaja dikehendaki mengekalkan hasrat politik yang kuat, malah perlu melakukan tindakan yang substantif.