China Sambut Baik Keputusan Adil WTO

2022-12-23 12:08:32  CRI
Share with:

China menyambut baik keputusan adil yang dibuat oleh kumpulan pakar Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) terhadap kes pertikaian perdagangan Hong Kong, China dengan Amerika Syarikat (AS) mengenai langkah Ketetapan Kastam Tempat Asal (ROO).

 

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar, Mao Ning dalam siding media pada Khamis sebagai respons terhadap laporan WTO yang menyatakan pelaksanaan ROO oleh AS telah melanggar peraturan organisasi perdagangan antarabangsa itu.

 

Mao menyatakan bahawa status Hong Kong sebagai kawasan kastam yang berasingan diluluskan oleh kerajaan China dan disahkan oleh ‘Undang-undang Asas Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong Republik Rakyat China’.

 

Kata Mao, perkara itu sekali gus membawa makna bahawa ia ditubuhkan oleh peraturan pelbagai hala WTO, dan bukan diberikan secara sepihak oleh mana-mana negara anggota semata-mata.

 

“AS yang menyalahgunakan konsep keselamatan negara dan mempolitikkan isu perdagangan, adalah tindakan melanggar peraturan WTO dan tidak memenuhi kepentingannya sendiri,” tegasnya.

 

Mao turut menggesa AS menghormati keputusan kumpulan pakar WTO tersebut, mengambil tindakan praktikal untuk membetulkan amalan yang salah, mengekalkan sistem perdagangan pelbagai hala berteraskan WTO, dan memelihara peraturan perdagangan antarabangsa yang normal.

 

“China mengekalkan dasar ‘satu negara, dua sistem’, dengan tegas menentang campur tangan kuasa luar dalam hal ehwal Hong Kong, menyokong Hong Kong dalam mengekalkan statusnya sebagai kawasan kastam yang berasingan.

 

“China turut menyokong Hong Kong dalam menyatukan dan meningkatkan statusnya sebagai pusat kewangan, perkapalan dan perdagangan antarabangsa,” tambah beliau.