China, Australia Betulkan Hala Tuju Perkembangan Hubungan
Presiden China, Xi Jinping, Gabenor Australia, David John Hurley dan Perdana Menterinya, Anthony Albanese mengutus perutusan tahniah antara satu sama lain sempena menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Australia pada 21 Dec.
Pada hari yang sama, menteri luar kedua-dua negara mengadakan Dialog Hubungan Luar dan Strategi China-Australia keenam di Beijing dan mencapai konsensus mengenai perkembangan hubungan bilateral perlu selaras dengan perkongsian strategik komprehensif China-Australia, dan kedua-dua pihak perlu bersikap saling menghormati, sama rata dan saling menguntungkan serta mengawal perselisihan.
Selepas pertemuan antara Presiden China Xi Jinping dan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese di Pulau Bali, Indonesia pada bulan Nov. yang dilihat sebagai satu permulaan bagi kedua-dua pihak menggariskan hala tuju bagi membaikpulih hubungan bilateral, lawatan Menteri Luar Australia ke China kali ini disifatkan usaha untuk menghidupkan semula mekanisme dialog hubungan luar dan strategi kedua-dua negara yang tergantung selama lebih empat tahun.
Akhbar The Australian Financial Review menyifatkan lawatan Menteri Luarnya ke China kali ini sebagai langkah baharu untuk menjamin kestabilan hubungan bilateral.
China mencadangkan kedua-dua negara memilih pendekatan yang saling menghormati, mencari persamaan dan menyisihkan perselisihan, mewujudkan pencapaian sama menang bagi mengembangkan hubungan bilateral, selain merangka pelan hala tuju memperbaiki hubungan bilateral dari aspek mengekalkan kontak, menangani perselisihan, memperkasa kerjasama dan mendorong pertukaran sosiobudaya.
Pihak Australia pula komited kepada usaha mengembangkan hubungan dua hala yang stabil, mempertahankan pelaksanaan dasar Satu China, mengawal dengan baik dan bukannya membesarkan perselisihan antara kedua-dua negara, menghormati perbezaan kedua-dua negara dalam bidang sistem politik, sejarah dan kebudayaan serta nilai-nilai tatasusila, mengelakkan campur tangan terhadap urusan dalaman China serta mewujudkan syarat positif untuk memupuk semula rasa saling percaya dalam bidang politik.
China dan Australia sejak sekian lama tidak mempunyai dendam benci yang berurat akar atau menderita konflik berkaitan kepentingan asas antara satu sama lain. Keamanan dan pembangunan serantau terancam serius di sebalik pergolakan dan transformasi baharu dalam senario global, serta konfrontasi di rantau Asia Pasifik dan pertentangan blok yang dicetuskan sesetengah negara. Namun, asal saja pihak Australia mengekalkan sikap rasional, mengelakkan diri daripada dijadikan alat untuk percaturan negara lain, China dan Australia pasti dapat memanfaatkan kelebihan masing-masing untuk menjalankan kerjasama yang kondusif bagi pembangunan serantau.
China dan Australia dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan dalam Dialog Hubungan Luar dan Strategi bersetuju melancarkan atau menghidupkan semula dialog dan komunikasi dalam bidang hubungan bilateral, ekonomi, perdagangan serta hal ehwal serantau dan antarabangsa, menyokong pertukaran sosiobudaya. Ia disifatkan sebagai petanda positif hubungan kedua-dua negara bergerak ke arah penormalan.
Hubungan China-Australia yang sihat dan stabil bukan sahaja selaras dengan kepentingan asas rakyat kedua-dua negara, tetapi juga kondusif bagi mendorong pewujudan kedamaian, kestabilan dan kemakmuran di rantau Asia Pasifik, bahkan dunia.