BRI Bawa Kesejahteraan kepada Rakyat Pelbagai Negara

2022-12-27 13:25:00  CRI
Share with:

China bersedia bersama-sama dengan pelbagai pihak untuk merumuskan pengalaman dan merangka cetak biru yang baharu, agar membawa lebih banyak kesejahteraan dan kemakmuran kepada dunia melalui pembinaan BRI.

Demikian dikatakan jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning ketika diminta mengulas tentang siapnya fasa pertama laluan biru projek transit aliran ringan (LRT) Lagos di Nigeria, dalam sidang media semalam.

Menurut laporan, projek yang dibina oleh syarikat China itu merupakan LRT elektrik pertama di kawasan Afrika Barat. Ia juga satu lagi hasil daripada pembinaan bersama inisiatif Jalur dan Laluan (BRI).

Mao Ning menyatakan bahawa LRT itu merupakan projek prasarana yang melibatkan modal paling banyak di wilayah Lagos dalam sejarah. Projek itu akan banyak mengurangkan tekanan trafik di kawasan terbabit, di samping memudahkan perjalanan penduduk dan memacu pembangunan ekonomi tempatan. Sementara itu, LRT itu juga akan menyediakan pengalaman bagi pembinaan transit rel di Nigeria malah negara-negara lain di Afrika Barat.

Beliau berkata, kerjasama BRI dilaksanakan lancar dan mencapai banyak hasil pada tahun ini. Sebanyak lima negara lagi menandatangani dokumen kerjasama BRI dengan China.

Dalam 11 bulan pertama tahun ini, jumlah perdagangan antara China dengan rakan-rakan kerjasama BRI meningkat 20.4 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu. Pada masa sama, jumlah kereta api kargo China-Eropah dan jumlah penghantaran TEU antara China dengan Eropah masing-masing menokok 10 peratus dan 11 peratus.