Kolaborasi Penting dalam Tangani Perubahan Iklim

2022-12-28 17:27:31  CRI
Share with:


Cuaca ekstrem dan bencana alam yang kerap kali melanda dunia pada 2022 merupakan satu amaran buat manusia.

Hasil kajian saintis Amerika Syarikat (AS) menunjukkan kepekatan karbon dioksida atmosfera merekodkan paras paling tinggi dalam sejarah pada bulan Mei.

Menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia (WMO), cuaca panas melampau, bencana kemarau dan banjir telah menjejaskan kehidupan jutaan rakyat di seluruh dunia, di samping membawa kerugian harta benda berbilion-bilion dolar Amerika.

Krisis akibat perubahan iklim makin dirasai manusia dan ia yang bukan lagi cabaran masa hadapan itu perlu ditangani menerusi kolaborasi.

Ali Pate, profesor geografi dari Universiti Bayero Kano (BUK) Nigeria berkata, sejarah menunjukkan bahawa proses pengindustrian negara maju merupakan antara faktor utama yang menyebabkan perubahan iklim, dan kesan buruknya pula dihadapi oleh negara membangun.

Pakar alam sekitar dari Universiti Nairobi, Saara Chaudry juga berpendapat negara maju perlu memikul tanggungjawab utama terhadap pelepasan gas rumah hijau.

“Tambahan pula, kebanyakan negara maju mempunyai kemampuan yang lebih tinggi dari segi kewangan dan teknologi,” ujar beliau.

China mengesyorkan masyarakat antarabangsa memikul tanggungjawab bersama tetapi berbeza dalam menangani perubahan iklim.

Persidangan ke-27 Pihak-Pihak Pemeterai Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu PBB (UNFCCC), atau COP27 diadakan di Sharm el-Sheikh, Mesir pada November.

Peserta persidangan itu mencapai kata sepakat untuk menubuhkan dana ‘kerugian dan kerosakan’ bagi menyokong negara membangun yang lemah menangani perubahan iklim.

Penyelidik Institut Asia Barat dan Afrika Akademi Sains Sosial China (CASS), Zhu Weidong menyifatkan penubuhan dana berkenaan sebagai hasil signifikan dalam COP27.

“Ia merupakan satu kemenangan signifikan yang dicapai negara membangun, dan juga inisiatif penting bagi mengendalikan perubahan iklim global,” katanya.

Perubahan iklim sudah menjadi krisis mendesak untuk ditangani pada masa ini dan setiap negara perlu memikul tanggungjawab serta kewajipan dengan bersungguh-sungguh, di samping berganding bahu bagi memajukan tadbir urus iklim global.