Pelarasan Tahap Pengurusan COVID-19 Permudah Pergerakan Rentas Sempadan

2022-12-29 14:01:01  CRI
Share with:

Tindakan China melaraskan tahap pengurusan COVID-19 akan membantu mempermudah pergerakan rentas sempadan termasuk perjalanan perniagaan, dan membina semula keyakinan pelabur asing terhadap pasaran negara ini.

Pandangan itu disuarakan oleh dewan perniagaan Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Jerman serta misi diplomatik beberapa negara asing di China.

Mereka beranggapan bahawa pelarasan itu juga mampu menyumbang kepada pemulihan sikap optimistik dalam pasaran, sekali gus membolehkan China kekal sebagai destinasi pelaburan utama bagi modal asing. 

Sehubungan itu, jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin berkata China mengoptimumkan serta menambah baik langkah pencegahan dan kawalan wabak bersesuaian dengan keadaan semasa.

"China membuat keputusan untuk menurunkan tahap pengurusan wabak COVID-19 daripada Kelas A kepada Kelas B mengikut undang-undang berkenaan.

"Pelarasan itu dilakukan berdasarkan penilaian menyeluruh terhadap mutasi virus, situasi penularan wabak serta kerja pencegahan dan kawalan,” ujar beliau semasa sesi taklimat pada Selasa.

Wang menyatakan langkah berkenaan akan memastikan tindak balas COVID-19 dilaksanakan secara lebih saintifik, bersasar dan berkesan.

"Ia juga dapat memastikan pengeluaran dan kehidupan berjalan secara normal, menjamin keperluan perubatan dan kesihatan, serta meminimumkan impak pandemik terhadap pembangunan sosioekonomi,” katanya.

Sebagai tindakan sepadan bagi pelarasan tahap pengurusan COVID-19, China juga mengumumkan peraturan baharu mengenai kelonggaran protokol kuarantin terhadap pengembara yang masuk ke negara ini.

Peraturan baharu itu akan turut mempermudah pergerakan rentas sempadan secara selamat dan teratur, mempergiatkan pertukaran dan kerjasama antarabangsa, dan membawa lebih banyak manfaat kepada pertumbuhan ekonomi sejagat.