China Berhubungan Rapat dengan Dunia: Xi

2023-01-02 14:18:51  CRI
Share with:


Sempena sambutan tahun baharu 2023, Presiden China, Xi Jinping menyampaikan perutusannya melalui Kumpulan Media China (CMG) dan Internet.

Xi dalam perutusan itu menegaskan bahawa China berhubungan rapat dengan dunia dan bakal mendakap masa depan yang lebih indah.

Beliau turut menyampaikan mogaan supaya dunia ini aman dan sentosa.

Penganalisis asing menyifatkan perutusan Xi sebagai amat memberangsangkan buat seluruh dunia.

Menurut media asing, Kongres Kebangsaan ke-20 Parti Komunis China (PKC) yang diadakan dengan jayanya merupakan ‘peristiwa  paling signifikan di China’ pada 2022.

Kongres itu bukan sahaja merangka cetak biru ke arah membangunkan China sebagai negara sosialis moden secara menyeluruh, malah menjadi titik permulaan baharu untuk China dan dunia bergandingan mencipta masa depan yang indah.

Pada 2022, China kekal sebagai entiti ekonomi kedua terbesar di dunia, dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dijangka mencecah RMB120 trilion (kira-kira RM76 trilion).

Ekonomi China tetap berdaya tahan, berpotensi besar dan penuh dinamik, serta mengekalkan trend perkembangan yang baik dalam jangka panjang.

Berdepan wabak COVID-19 yang masih menular di dunia, kerajaan China sentiasa mengamalkan prinsip 'rakyat didahulukan, nyawa diutamakan', menjalankan kerja pencegahan wabak secara saintifik dan bersasar serta mengubah suai langkah kawalan berkenaan mengikut keadaan semasa.

“Kini, usaha melawan wabak memasuki fasa baharu dan masih agak mencabar. Semua orang berjuang sehabis daya, sinar harapan berada di hadapan,” kata Xi dalam perutusannya di ambang tahun baharu.

Xi berkata, China berhubungan rapat dengan dunia. Pada 2022, beliau telah menyambut kedatangan ramai kawan baharu dan lama di Beijing, dan juga melangkah ke luar negara untuk berkongsi saranan dan inisiatif China.

Beliau juga menegaskan bahawa ikhtiar gigih mencipta keajaiban, kekuatan lahirnya daripada perpaduan, dan harapan diletak di bahu belia.