Tindakan Wajar UK Berhubung Dua Kepulauan Dinanti
Perdana Menteri Mauritius, Pravind Kumar Jugnauth pada Ahad mengumumkan bahawa negara itu dan United Kingdom (UK) memulakan rundingan mengenai kedaulatan Kepulauan Chagos yang dipertikaikan.
Ini bermakna, proses penyerahan semula kepulauan itu kepada Mauritius dimulakan secara rasmi.
Lebih-lebih lagi, masyarakat antarabangsa juga menantikan tindakan wajar UK dalam meleraikan isu Kepulauan Falkland dan menyambung semula rundingan dengan Argentina secepat mungkin.
Nampaknya begitu jelas segala selok-belok isu kedaulatan kedua-dua kepulauan tersebut dari sudut sejarah.
Kepulauan Chagos sebahagian daripada wilayah Mauritius.
Pada 1965, UK memisahkan kepulauan itu dari Mauritius dan menjadikannya ‘Wilayah Lautan Hindi British’ sebagai syarat tambahan Mauritius memperoleh kemerdekaan.
Negara Eropah itu pernah berjanji akan mengembalikan kepulauan berkenaan pada masa yang sesuai. Namun, janji itu tidak pernah dikotai.
Pada Februari 2019, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengesahkan tindakan UK yang menakluki Kepulauan Chagos adalah tidak sah.
Tiga bulan kemudian, resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa UK menyerahkan semula Kepulauan Chagos dalam tempoh enam bulan.
Pada Januari 2021, Tribunal Antarabangsa bagi Undang-undang Laut (ITLOS) memutuskan bahawa UK tidak mempunyai kedaulatan ke atas Kepulauan Chagos di samping mengecam keengganannya untuk memulangkan kepulauan berkenaan.
Walau bagaimanapun, UK bertindak membutakan mata dan memekakkan telinga berhubung desakan tersebut.
Mengenai isu Falklands pula, resolusi PBB adalah jelas sekali. Tiada alasan bagi UK menolaknya.
Jawatankuasa Khas PBB mengenai penyahjajahan pernah mengeluarkan lebih daripada 30 resolusi untuk menggesa kerajaan UK berunding dengan Argentina.
Kolonialisme umpama parut dalam lipatan sejarah tamadun manusia.
Perhatian dunia kini beralih kepada sikap UK terhadap isu Kepulauan Falkland selepas negara itu menyelesaikan isu hak milik Kepulauan Chagos.
Pada abad ke-21, tiada sekecil manapun ruang dan peluang yang membenarkan amalan kolonialisme terus berkembang biak.