Raptai Kedua Gala TBC 2023 Selesai
Sesi raptai kedua Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 anjuran Kumpulan Media China (CMG) berlangsung dengan jayanya di sini, pada Selasa.
Program yang bakal diadakan pada malam TBC 2023 itu bertujuan untuk menzahirkan kegembiraan, keyakinan dan tekad, serta harapan baik terhadap kemakmuran, keamanan tanah air dan kesejahteraan rakyat sepanjang tahun.
Untuk edisi kali ini, reka bentuk seni pentas Gala TBC akan mencerminkan konsep "Mantingfang", iaitu salah satu jenis irama puisi pada zaman purba China.
Kreativiti struktur empat kelopak bunga pada bahagian atas pentas diadaptasi daripada "corak kelopak" yang bersifat simbolik pada tembikar Miaodigou yang berusia sekitar 6000 hingga 4800 tahun lalu.
Ia bukan sahaja disifatkan sebagai penciptaan estetik yang berasaskan tamadun China, tetapi juga penciptaan inovatif yang berdasarkan konsep reka bentuk moden.
Difahamkan, pemilihan "bunga" sebagai simbol tema seni pentas pada kali ini bukan sahaja untuk mencerminkan kemakmuran dan kedinamikan negara, malah juga memperlihatkan kehidupan penduduk yang sejahtera dan bahagia serta perjuangan gigih rakyat.
Gala berkenaan akan dipersembahkan kepada para penonton dengan menyelitkan idea kreatif dan menerusi teknologi inovatif.
Pihak penganjur turut berikrar untuk mengoptimumkan rancangan program, menyelaraskan elemen kesenian pada sesi raptai seterusnya bagi menyajikan karnival seni budaya bertaraf tinggi kepada penonton serata dunia.