Tiada Mutasi Baharu Ditemui dalam Strain Dominan di China

2023-01-06 13:48:55  CRI
Share with:

Sejak tercetusnya pandemik COVID-19, China sentiasa berkongsi maklumat dan data relevan dengan masyarakat antarabangsa termasuk Amerika Syarikat (AS) secara terbuka, telus dan bertanggungjawab. 

Demikian ujar jurucakap Kementerian Luar Mao Ning dalam sidang media pada Khamis, sebagai membalas ‘kebimbangan’ dilahirkan pemimpin AS terhadap respons COVID-19 yang dilaksanakan China buat masa ini.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), data genom virus disediakan Suruhanjaya Kesihatan Negara (NHC) China menunjukkan bahawa strain yang dominan di China sekarang adalah konsisten dengan urutan genom daripada pelancong China dijangkiti COVID-19 yang diserahkan negara lain. Tiada varian baharu atau mutasi ketara ditemui.

Mao berkata China akan terus memantau kemungkinan mutasi virus dengan teliti, menyiarkan maklumat berkenaan tepat pada masanya, dan bersinergi dengan masyarakat antarabangsa untuk menangani cabaran pandemik.

Jurucakap itu turut menyeru supaya semua pihak mengambil langkah pencegahan dan kawalan berasaskan sains tanpa menyasarkan mana-mana negara tertentu, serta mengelak daripada membuat sebarang kenyataan dan amalan yang mempolitikkan wabak.

"Sinergi perlu dibentuk untuk menjamin pergerakan rentas sempadan yang normal dan menewaskan pandemik COVID-19 seawal mungkin,” ujar beliau.