Lawatan Marcos Buka Dimensi Baharu Ikatan China-Filipina

2023-01-06 15:33:45  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping pada Rabu mengadakan pertemuan empat mata dengan rakan sejawatannya dari Filipina, Ferdinand Romualdez Marcos Jr yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China.

Kedua-dua pemimpin menekankan peri pentingnya ikatan China-Filipina bagi satu sama lain, bersetuju mengekalkan komunikasi strategik secara berkala, dan mencapai konsensus penting untuk memperdalam kerjasama pragmatik serta mengendalikan isu-isu maritim secara baik. 

Ini julung kalinya Marcos membuat lawatan rasmi ke negara di luar rantau ASEAN sejak memegang jawatan Presiden Filipina pada Jun 2022. Beliau juga merupakan pemimpin asing pertama yang mengunjungi China pada tahun ini.

Dalam pertemuan itu, Xi menyatakan bahawa China sentiasa memprioritikan Filipina dalam diplomasi kejiranannya serta melihat hubungan dengan Filipina dari perspektif strategik dan menyeluruh. 

"China mahu mengekalkan jalinan dengan Filipina selaku jiran baik yang saling menolong, saudara yang berkongsi ikatan pertalian mesra dan rakan kongsi yang mengejar kerjasama menang-menang," kata beliau. 

Xi menyuarakan kesediaan untuk bersama Filipina dan negara ASEAN lain memfokuskan kolaborasi dan pembangunan demi menjaga keamanan dan kemakmuran di rantau Asia.

Selain itu katanya, China sudi membantu Filipina memajukan industri pertanian dan kawasan desa dengan mengetengahkan pembinaan pusat teknologi pertanian berkenaan sebagai projek ikonik, di samping mempergiat kerjasama membabitkan infrastruktur dan kesalinghubungan.

"China akan terus memperluas pengimportan produk pertanian dan perikanan yang berkualiti dari Filipina dan menyokong perusahaan domestik melabur di negara itu,” ujar beliau. 

Pengendalian isu-isu maritim secara baik melalui perundingan muhibah antara konsensus penting yang dicapai dalam pertemuan kali ini.

Pihak China mengulangi kesediaan untuk bersama Filipina menyambung semula rundingan mengenai penerokaan minyak dan gas, dan menggerakkan kerjasama penerokaan sumber berkenaan di kawasan yang tidak dipertikaikan. Pihak Filipina turut memberi respons positif. 

Ini mencerminkan kedua-dua negara mempunyai keyakinan, kemampuan dan kebijaksanaan untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan di Laut China Selatan, menyelesaikan pertikaian melalui perundingan muhibah, sekali gus menjadikannya laut yang aman, dilimpahi persahabatan dan kerjasama.

Pemimpin kedua-dua negara turut menyaksikan penandatanganan siri dokumen kerjasama melibatkan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) serta pertanian, perikanan, infrastruktur, kewangan dan pelancongan.