China, Filipina Tandatangani Protokol Pengiktirafan Bersama AEO

2023-01-06 13:06:08  CRI
Share with:

Kastam China dan Filipina menandatangani protokol mengenai pengiktirafan bersama status Pengendali Ekonomi yang Diiktiraf (AEO) di sini pada Rabu, lapor Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC).

Menurut GACC, ia sekali gus menyaksikan kastam China menjadi rakan pengiktirafan bersama AEO pertama Kastam Filipina.

Filipina yang terlibat dalam pembinaan Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) merupakan anggota negara Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan juga rakan dagang penting China di ASEAN.

Seiring dengan pemerkasaan kerjasama kedua-dua negara dalam bidang ekonomi dan perdagangan pada beberapa tahun kebelakangan ini, China telah menjadi rakan dagang yang terbesar bagi Filipina selama enam tahun berturut-turut.

Selepas pengiktirafan bersama AEO, kargo eksport syarikat China dengan Filipina dapat menikmati empat jenis kemudahan yang melibatkan pemeriksaan, perkhidmatan pegawai perhubungan khas dan pelepasan kastam keutamaan di kastam masing-masing.

Secara tidak langsung, ia akan memendekkan masa pelepasan barang di kastam dan mengurangkan kos dari segi pelabuhan, insurans dan logistik.

Untuk rekod, AEO merupakan projek kemudahan perdagangan yang telah dilaksanakan di 97 buah negara dan wilayah.

Setakat ini, China telah menandatangani pengiktirafan bersama AEO dengan 23 entiti ekonomi termasuk Singapura, Kesatuan Eropah dan Afrika Selatan yang merangkumi 49 negara dan wilayah. 

Jumlah protokol yang ditandatangani dan jumlah rakan pengiktirafan bersama AEO yang dimiliki China pula berada pada kedudukan pertama di dunia.

Untuk langkah seterusnya, GACC akan terus memberi tumpuan kepada negara dan wilayah yang terlibat dalam pembinaan BRI, memperluaskan skala pengiktirafan bersama AEO dan meningkatkan tahap kemudahan perdagangan luar.