Malaysia Terus Kukuh Tarik Pelaburan Berkualiti

2023-01-07 11:47:48  CRI
Share with:

Ekonomi Malaysia berada di landasan yang kukuh untuk menarik pelaburan berkualiti, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Dalam temu bual dengan CNBC pagi Khamis, beliau berkata, walaupun cabaran masih ada disebabkan ketidaktentuan ekonomi global, langkah China untuk membuka semula sempadannya minggu depan memberi petanda baik untuk negara memandangkan China adalah rakan dagang terbesar Malaysia.

"Langkah itu akan membantu eksport dan ekonomi kami. Di dalam negara, usaha yang memfokuskan pada prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam sektor-sektor utama, meningkatkan kemudahan menjalankan perniagaan serta menggerak naik rantaian nilai dalam sektor yang kami amat kukuh juga akan membantu mengurangkan kesan tekanan ekonomi global.

"Malaysia mengunjurkan pertumbuhan empat peratus pada 2023. Angka (pertumbuhan) kami kelihatan baik, inflasi pada empat peratus dan kadar pengangguran pada 3.6 peratus," katanya.


(sumber dari BERNAMA)