AS Tak Layak Tuding Jari

2023-01-08 13:36:20  CRI
Share with:


Menurut data Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (AS), negara itu pernah mengalami lima gelombang wabak COVID-19 dalam tempoh tiga tahun lalu. Setiap kali di puncak jangkitan, selalunya dihujani laporan bahawa sistem perubatan AS hampir lumpuh.

Angkara kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaannya dalam menangani wabak, AS dilanda impak daripada hampir semua varian virus COVID-19 sehingga merekodkan lebih 100 juta kes jangkitan dan 1.08 juta kematian.


Pada masa sama, AS bergelut dengan kekurangan sumber perubatan yang serius, menyebabkan ramai rakyat sukar untuk menerima rawatan. Keadaan itu bertambah teruk apabila ramai petugas perubatan memilih meletakkan jawatan.

Menurut analisis, punca utama keadaan sebegitu adalah kerajaan AS tidak pernah memberikan tumpuan untuk menangani masalah realistik, sebaliknya terus-menerus mempolitikkan dan memanipulasi isu wabak.

Di China, tempias lima gelombang pandemik COVID-19 yang melanda dunia dalam tempoh tiga tahun lalu berjaya ditangkis susulan kerajaan mengambil langkah pencegahan dan kawalan yang ketat.  

Kesungguhan itu berjaya mengurangkan jangkitan teruk dan kes kematian dengan ketara, di samping memberi masa untuk usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) vaksin dan ubat-ubatan serta penyediaan sumber perubatan.

Sama seperti negara-negara lain, China bakal melalui tempoh penyesuaian susulan pelarasan pengurusan wabak. Dengan populasi begitu besar, China juga tidak terkecuali daripada menghadapi peningkatan kes jangkitan dan keperluan rawatan perubatan buat jangka pendek.

Namun, kerajaan China tidak membazirkan sedikit masa pun untuk menangani masalah yang didepani.

Daripada membuka pusat rawatan sementara, menawarkan perkhidmatan rawatan atas talian hinggalah menggalakkan syarikat farmaseutikal meningkatkan kapasiti pengeluaran… kerajaan China berusaha sehabis daya untuk melindungi keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat.

Bermula hari ini, China menurunkan tahap pengurusan wabak COVID-19 daripada kelas A kepada kelas B, dan membatalkan kuarantin mandatori yang perlu dijalani pengembara asing semasa ketibaan di pintu sempadan.

Pengubahsuaian yang dibuat berdasarkan keadaan semasa itu dianggap akan turut membantu memacu ekonomi global.