Industri Pameran Hong Kong Kian Pulih

2023-01-11 14:15:06  cri
Share with:

HONG KONG, 11 Jan. -- Pameran Mainan Hong Kong, Pameran Produk Bayi dan Pameran Alat Tulis dan Barang Keperluan Sekolah Antarabangsa Hong Kong membuka tirainya di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong, pada Isnin.

Dijadual berlangsung selama empat hari, pameran-pameran tersebut turut menarik lebih 1,000 pempamer dari 17 negara dan wilayah.

Pameran tersebut merupakan pameran fizikal berskala besar pertama yang diadakan di Hong Kong selepas China melaraskan dasar pembendungan COVID-19.

Menurut pihak penganjur, lebih daripada 250 pempamer dari Tanah Besar menyertai Pameran Mainan Hong Kong kali ini, bersama-sama dengan pempamer antarabangsa dari Sweden, Singapura dan negara-negara lain.

Naib Presiden Majlis Pembangunan Perdagangan Hong Kong (HKTDC), Vivian Cheung berkata, dengan prosedur pelepasan yang dipermudahkan, beliau berharap lebih banyak syarikat dari luar wilayah itu akan berminat untuk memasuki Hong Kong pada masa depan.

Pada Selasa, HKTDC turut menyatakan rancangannya untuk mengadakan lebih daripada 30 pameran yang berskala besar pada tahun ini.

Memandangkan kerajaan tempatan Hong Kong yang mula melonggarkan sekatan kemasukan pengembara antarabangsa pada September 2022, kadar pempamer dari luar wilayah pentadbiran khas itu meningkat secara beransur-ansur daripada 10% pada Oktober 2022 kepada 50% pada masa ini.

Untuk rekod, Pameran Barang Kemas Antarabangsa yang akan diadakan di Hong Kong pada Mac kini sudah berjaya menarik lebih daripada 2,000 peserta untuk berdaftar, dengan separuh daripadanya merupakan peserta dari luar Hong Kong.