China ‘Penstabil’ dan ‘Penggerak’ Pemulihan Ekonomi Dunia

2023-01-11 14:24:25  CRI
Share with:

Dasar pembendungan wabak di China terbukti berjaya menjaga keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat, di samping mengurangkan pengaruh negatif terhadap pembangunan sosioekonomi pada tahap maksimum.


Di samping itu, kadar pertumbuhan ekonomi China direkodkan sebanyak 4.5 peratus secara purata dalam tiga tahun lalu, lebih tinggi berbanding taraf purata antarabangsa.


Demikian dikatakan jurucakap Kementerian Luar China, Wang Wenbin dalam siding media yang diadakan pada Selasa. 


Mutakhir ini, terdapat liputan media Barat yang mendakwa penularan wabak di China akan menjejaskan kestabilan rantai bekalan antarabangsa, sekali gus membawa tempias kepada pemulihan ekonomi dunia.


Wang menyifatkan laporan-laporan tersebut sebagai mempunyai motif tersembunyi, selain turut bertentangan dengan fakta.


Pada masa ini, ekonomi dunia menghadapi risiko kemelesetan dan momentum perdagangan global menjadi lemah. Dalam konteks ini, menurut Wang, China giat meningkatkan tahap pembukaan, menyediakan produk dan perkhidmatan bermutu tinggi kepada dunia, memainkan peranan sebagai ‘penstabil’ dalam rantai perindustrian dan bekalan global.


“Pada tahun 2021, nilai perdagangan luar China berjumlah USD6.9 trilion, kekal di tangga teratas di dunia.


“Dari Januari hingga November lalu, perdagangan luar kargo di China meningkat 8.6 peratus, antaranya pengeksportan meningkat 11.9%, menyumbang besar kepada kemampanan ekonomi dan perkembangan perdagangan global,” jelas Wang.


Kata Wang, selepas kerajaan China mengoptimumkan polisi pembendungan COVID-19 baru-baru ini, pemimpin organisasi antarabangsa termasuk Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) melihat positif terhadap prospek ekonomi China selain berpendapat ia menjadi peranan tonggak kepada rejuvinasi dan pembangunan ekonomi dunia.


“Baru-baru ini, pelbagai agensi pelaburan antarabangsa menaikkan unjuran terhadap kelajuan pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2023.


“Pelbagai pertubuhan perdagangan asing di China juga menganggap langkah-langkah berkaitan akan merangsang semula keyakinan pelabur, sekali gus menjadikan China kekal sebagai destinasi pelaburan utama,” ujarnya lagi. 


Kini katanya, penularan wabak di China kian reda, dengan banyak provinsi dan bandar sudah melepasi puncak penularan, sementara aktiviti ekonomi turut pulih scara pesat.


“Seiring dengan pemulihan permintaan masyarakat dan pengaruh dasar terbaharu, peranan China sebagai ‘penstabil’ dan ‘penggerak’ pemulihan ekonomi dunia akan turut terserlah,” ulas Wang.