China, Angola Komited Kukuhkan Hubungan Persahabatan

2023-01-12 12:13:52  CRI
Share with:

Presiden China, Xi Jinping dan rakan sejawatannya dari Angola, Joao Lourenco menghantar perutusan tahniah antara satu sama lain sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik kedua-dua negara pada Khamis.

Xi menyatakan bahawa sejak terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara pada 40 tahun yang lalu, China dan Angola menunjukkan persefahaman dan sokongan antara satu sama lain dalam menangani isu yang melibatkan kepentingan teras dan keprihatinan penting masing-masing. 

"Saya mementingkan perkembangan hubungan dengan Angola dan bersedia bekerjasama dengan Presiden Joao Lourenco mengambil momentum ulang tahun ini sebagai titik permulaan bagi memperdalam rasa saling percaya kedua-dua pihak dalam bidang politik, memperkasa kerjasama yang saling menguntungkan dan mengukuhkan persahabatan di kalangan rakyat kedua-dua negara untuk membuka lembaran baharu dalam perkongsian strategik China- Angola,” kata Xi.

Joao Lourenco pula berkata, hubungan Angola dan China kekal berkembang dan kerjasama kedua-dua pihak dalam pelbagai bidang pula melakar pencapaian yang menggembirakan sejak terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Pihaknya bersedia meningkatkan hubungan dan kerjasama dengan China untuk mewujudkan kemajuan, kemakmuran dan pembangunan bersama bagi kesejahteraan rakyat kedua-dua negara.