AIIB Sambut Ulang Tahun ke-7, Kini Kelola Projek di 33 Negara

2023-01-16 12:50:00  CRI
Share with:

Memasuki ulang tahun ke-7 hari ini, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia (AIIB) kini terus cemerlang dengan mengelola dan membiayai projek infrastruktur di 33 negara.

Bank yang berpangkalan di Beijing itu meluluskan sebanyak 202 projek dari 2016 hingga 2022, dengan jumlah pembiayaan lebih daripada AS$38.8 bilion (RM168 bilion) dan memanfaatkan modal mencecah AS$130 bilion (RM563 bilion).

Projek yang dibiayai AIIB mencakupi bidang seperti tenaga, pengangkutan, air, telekomunikasi, pendidikan dan kesihatan awam, selain lebih memfokuskan kepada pembangunan mampan infrastruktur serta pemulihan hijau ekonomi anggotanya.

Pada 2015, 57 negara menjadi pengasas kepada penubuhan AIIB yang diterajui China dengan memeterai Perkara-perkara Perjanjian (Articles of Agreement) untuk entiti itu.

Bank itu beroperasi secara rasmi pada 2016 dan meluluskan projek pembiayaan pertamanya enam bulan kemudian.

AIIB sentiasa mengekalkan kredit AAA, iaitu tahap tertinggi yang diberikan oleh tiga agensi penarafan antarabangsa utama.

Dengan keanggotaan Mauritania pada akhir 2022, AIIB kini mempunyai 106 ahli dari enam benua, meliputi 81 peratus penduduk dunia dan 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menjadikannya institusi pembangunan pelbagai hala antarabangsa kedua terbesar selepas Bank Dunia.