Raptai Keempat Gala TBC 2023 Selesai

2023-01-17 15:09:40  CRI
Share with:

Raptai kali keempat Gala Tahun Baharu Cina (TBC) 2023 anjuran Kumpulan Media China (CMG) berlangsung dengan lancar pada Isnin. 

Beberapa program yang debut dalam gala itu sarat dengan idea-idea kreatif, sekali gus memaparkan integrasi seni dan teknologi serta pertembungan unsur tradisional dan moden. 

Gala edisi kali ini turut menyuntik nafas baharu kepada opera klasik menerusi inovasi dan kreativiti. 

Puxian, sejenis opera tempatan digelar ‘fosil hidup’ yang diwariskan dari Dinasti Song (960-1279) dan Dinasti Yuan (1271-1368), buat pertama kalinya dipersembahkan di pentas Gala TBC dan mendapat tepukan gemuruh daripada para penonton semasa raptai.

Seni persembahan muzik, Nanyin diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sebagai warisan budaya tidak ketara pada 2009.

Nanyin yang mempunyai sejarah selama lebih 1,000 tahun, juga buat julung kalinya dibawa ke pentas persembahan Gala TBC.

Mempunyai irama halus dan elegan, muzik klasik bertembung dengan muzik moden bertempo pantas, secara tidak langsung memperlihatkan pesona budaya tradisional China.

Untuk hari-hari seterusnya, kumpulan pengendali Gala TBC akan terus menyempurnakan setiap program bagi menyajikan temasya budaya, sains dan teknologi yang penuh gemilang kepada para penonton.