Xi Ucap Selamat TBC kepada Seluruh Rakyat

2023-01-18 22:19:57  CRI
Share with:

Menjelang Tahun Baharu Cina (TBC), Presiden China Xi Jinping menziarahi penduduk dan pegawai peringkat akar umbi melalui pautan video pada Rabu, di samping mengucapkan selamat TBC kepada rakyat seluruh negara.

Beliau turut menyampaikan salam kepada petugas perubatan di hospital, warga emas di rumah kebajikan, pekerja di medan minyak, kakitangan di stesen kereta api laju (HSR) dan peniaga di pasar borong hasil pertanian.

Ketika berbual dengan doktor, jururawat dan pesakit di Hospital Pertama Universiti Perubatan Harbin di provinsi Heilongjiang, Xi bertanya tentang keadaan penerimaan pesakit, rawatan kritikal, bekalan ubat-ubatan dan penyembuhan pesakit selepas pelarasan langkah pencegahan dan kawalan COVID-19.

Beliau berasa lega dan gembira apabila diberitahu bahawa jumlah pesakit dalam keadaan teruk sedang menurun, wad dan katil hospital serta bekalan ubat-ubatan juga mencukupi.

Xi berkata China membuat pilihan yang betul untuk mengendalikan pandemik menerusi langkah kawalan ketat sepanjang tiga tahun lalu, menyaksikan negara ini berjaya menahan tempias beberapa pusingan mutasi virus.

"Langkah berkenaan berjaya meminimumkan kadar jangkitan teruk dan kematian, melindungi keselamatan nyawa dan kesihatan rakyat sekali gus memperoleh masa berharga untuk terus mengoptimumkan respons COVID-19," katanya.

Menurut beliau, China kini mengalihkan tumpuan daripada pencegahan jangkitan kepada rawatan perubatan dengan matlamat untuk menjamin kesihatan rakyat dan mencegah jangkitan teruk.

Justeru katanya, usaha perlu digandakan untuk mempertingkat penawaran perkhidmatan perubatan dan bekalan ubat-ubatan, khususnya persiapan bagi merawat pesakit bergejala teruk.

"Perlindungan dan penjagaan kebajikan terhadap kakitangan perubatan juga perlu ditingkatkan bagi menjamin kesihatan mereka," ujar beliau.

Sempena sambutan perayaan tradisional, Xi turut menekankan perlunya menjamin bekalan elektrik dan gas asli, memperkasa kawal selia keselamatan makanan, melaksanakan langkah kawalan wabak dengan baik serta mengelak daripada berlakunya insiden kecemasan dan keselamatan, agar rakyat dapat meraikan TBC dalam suasana meriah dan sentosa.