Hati Xi, Rakyat Sentiasa Bertaut

2023-01-20 15:32:57  CRI
Share with:

“Walaupun hanya bersua melalui skrin, namun saya tetap merasai suasana sambutan Tahun Baharu Cina (TBC) di seluruh negara, serta kebahagiaan dan kegembiraan kalian.

“Hati saya sentiasa bertaut rapat dengan anda semua dan rakyat pelbagai etnik di seluruh negara,” ujar Presiden China Xi Jinping dalam perjumpaan secara maya dengan penduduk dan pegawai di peringkat akar umbi pada Rabu.  

Secara rutinnya, beliau akan menziarahi rakyat di serata negara sempena sambutan TBC pada setiap tahun.

Sejak menjadi pemimpin tertinggi pada 2012, Xi telah berkunjung ke banyak tempat sempena festival penting itu termasuk kawasan desa yang terpencil, kem tentera dengan suhu mencecah -30 darjah Celcius, kampung etnik minoriti berketinggian 2,500 meter dari paras laut, pasar raya serta rumah kebajikan.

Penziarahan yang buat julung kalinya dilakukan melalui pautan video pada tahun ini, membolehkan beliau bertemu mesra dengan lebih ramai rakyat dari pelbagai tempat.

Dalam ucapannya, Xi turut menyampaikan salam kepada petugas hospital, warga emas di rumah kebajikan, pekerja di medan minyak, kakitangan stesen kereta api laju (HSR), peniaga di pasar borong hasil pertanian dan rakyat jelata.

Ketika berbual dengan anggota perubatan di Hospital Pertama Universiti Perubatan Harbin di provinsi Heilongjiang, beliau khusus menzahirkan penghargaan atas sumbangan petugas perubatan seluruh negara yang bertungkus-lumus melawan wabak COVID-19 dan merawat pesakit.

Xi juga dilihat cakna terhadap bekalan pasaran sepanjang meraikan TBC apabila beliau turut bertanya tentang keadaan operasi pasar dan harga barangan ketika bertemu peniaga serta pelanggan di pasar borong Xinfadi, iaitu antara pusat perniagaan sayur dan buah utama di Beijing.

Beliau menyifatkan pembekalan sayur, bijirin dan buah sebagai berkait rapat dengan setiap isi rumah dan juga merupakan jaminan kehidupan asas rakyat.