Percutian TBC Bawa Harapan kepada Pemulihan Ekonomi Dunia

2023-01-29 12:21:22  cri
Share with:

Menurut statistik terkini yang diumumkan pihak berkuasa China, dalam tempoh percutian Tahun Baharu China (TBC) ini, jumlah pergerakan pelancong dalam negeri mencatat 308 juta, menyumbangkan RMB375.84 bilion (RM235.14 bilion) kepada pendapatan industri pelancongan, dan kedua-dua angka tersebut masing-masing naik sebanyak 23.1% dan 30%.

Pada masa sama, kutipan tiket filem dalam percutian TBC berjumlah RMB6.76 bilion, meningkat 11.89% berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Selain itu, jumlah individu yang keluar masuk sempadan turut melonjak sebanyak 120.5% berbanding tahun 2022.

Inilah percutian TBC pertama selepas China melaksanakan dasar terbaharu mengenai pembendungan COVID-19. Angka-angka yang memberangsangkan tersebut memperlihatkan bahawa ekonomi China sedang pulih dengan momentum kuat, dan ia sekali gus mencerminkan sektor penggunaan di negara ini yang dinamik dan berpotensi.

Penggunaan ialah pemacu utama bagi ekonomi China dalam jangka masa panjang. Walau bagaimanapun, perbelanjaan dalam penggunaan hanya menyumbang 32.8% kepada pertumbuhan ekonomi negara ini pada 2022, lebih rendah berbanding pembentukan modal yang merekodkan 50.1%.  

Persidangan kerja ekonomi pusat yang diadakan pada akhir tahun lalu telah menegaskan bahawa misi memulihkan dan meluaskan penggunaan patut diletakkan sebagai keutamaan pada 2023.

Berikutan pelaksanaan dasar terbaharu mengenai pembendungan COVID-19, pelbagai tempat di China telah mengambil langkah untuk merangsang penggunaan. Kementerian Perdagangan juga menetapkan tahun 2023 sebagai "Tahun Penjanaan Penggunaan".