Pameran Canton ke-133 Kembali Secara Fizikal pada April

2023-01-30 11:46:50  CRI
Share with:

Pameran Import dan Eksport China atau Pameran Canton ke-133 akan kembali semula secara fizikal pada 15 April, ujar Ketua Pengarah Pusat Perdagangan Luar China, Chu Shijia, pada Sabtu.

“Pameran itu akan diadakan dalam tiga fasa dengan kawasan pamerannya diperluaskan daripada 1.18 juta meter persegi kepada 1.5 juta meter persegi.

“Pameran ini antara temasya ekonomi dan perdagangan antarabangsa berskala sangat besar selepas China melaksanakan dasar terbaharu mengenai pembendungan COVID-19,” katanya.

Menurut maklumat, setakat ini, lebih 40,000 syarikat telah memohon untuk menjadi pempamer dan jumlah reruai dijangka akan meningkat kepada hampir 70,000 berbanding 60,000 sebelum ini.

Difahamkan, pameran secara dalam talian juga akan dibuka kepada semua syarikat yang berkelayakan.

Di antara pempamer tersebut, lebih daripada 5,000 syarikat adalah berkualiti tinggi dan mempunyai keunikan tersendiri.

“Kami telah memulakan promosi dalam kalangan global terlebih dahulu sebelum 2023 dan menghantar jemputan kepada 950,000 pembeli domestik dan luar negara, 177 rakan kongsi antarabangsa dan 224 institusi perniagaan kedutaan dan konsulat asing di China.

“Tumpuan diberi kepada barang pengguna dan produk perindustrian bagi menarik penyertaan syarikat tersenarai dalam Fortune Global 500 serta syarikat peneraju dalam sektor berkenaan yang mewakili teknologi canggih dan penggunaan kelas tinggi,” kata Chu.