Perjalanan Warga China ke Luar Negara Meningkat Ketara

2023-01-31 11:54:35  CRI
Share with:

Jumlah perjalanan warga China ke luar negara sempena cuti Tahun Baharu Cina (TBC) meningkat secara ketara, memaparkan suasana riang ria yang penuh dengan kedinamikan.

Jurucakap Kementerian Luar Mao Ning berkata, perjalanan masuk dan keluar sepanjang cuti TBC direkodkan dari China melonjak 120.5 peratus membabitkan seramai lebih 2.87 juta orang, purata 410,000 sehari.

“Secara keseluruhannya pakej perjalanan ke luar negeri untuk tempoh itu naik sebanyak 640 peratus, manakala tempahan tiket penerbangan meningkat lebih empat kali ganda tahun ke tahun,” kata Mao dalam taklimat harian di Beijing, Isnin.

Menurut beliau, kedatangan pelancong China amat dialu-alukan negara lain.

“Di Jungfrau, Switzerland misalnya, resort ski ini dihias dengan tanglung merah dan perhiasan bermotif arnab. Di lapangan terbang di Bali, Indonesia, pengembara China disajikan dengan persembahan tarian singa pada hari pertama TBC.

“Ketibaan pesawat yang membawa penumpang dari China diberi sambutan 'water salute' sebaik mendarat di Lapangan Terbang Velena di Maldives.

“Di Thailand pula, Timbalan Perdana Menteri Anutin Charnvirakul berada di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok untuk menyambut kedatangan pelancong dari China,” ujar beliau.

Selain itu, Setiausaha Pelancongan Filipina menzahirkan ucapan terima kasih kepada China kerana negara Asia Tenggara itu dipilih menjadi antara destinasi utama perjalanan kumpulan warga China selepas pelonggaran wabak.