Nak Perluas Tentakel, NATO Ditakdir Gagal

2023-02-01 17:28:02  CRI
Share with:

Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), Jens Stoltenberg yang sedang mengadakan lawatan di Jepun mengeluarkan kenyataan bersama dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida pada Selasa.

Selain menzahirkan komitmen untuk memperkasa kerjasama melibatkan keselamatan maritim, ruangan siber dan kawalan senjata, kedua-dua pihak turut mengeluarkan dakwaan bukan-bukan mengenai kekuatan tentera China dan isu Taiwan.

Terdahulu, Stoltenberg dalam lawatannya di Korea Selatan juga melemparkan tuduhan menyasar China, malah mendakwa China membawa ancaman kepada konsep nilai, kepentingan dan keselamatan dunia Barat.

Didorong strategi Indo-Pasifik Amerika Syarikat (AS), NATO memperluas tentakelnya sampai ke Asia Pasifik dengan memanipulasi isu-isu berkaitan China, menyebabkan rantau itu dihantui mentaliti Perang Dingin.

Sejak ditubuhkan, NATO menjadi alat bagi AS untuk bersubahat dengan sekutunya dan mencetuskan perlawanan sesama blok. Pertubuhan itu kehilangan matlamat dan hala tuju selepas berakhirnya Perang Dingin.

Sejak tercetusnya krisis Ukraine pada awal tahun lepas, AS mahu menghidupkan semula NATO malahan mewujudkan ‘NATO versi Asia Pasifik’ bagi mengekang China dan mengekalkan kedudukan hegemoni sendiri.

Sebagai hasil Perang Dingin yang sudah ketinggalan zaman, NATO yang mahu meneruskan kelangsungannya, sibuk ke sana sini untuk mengheboh-hebohkan 'ancaman keselamatan' dan mempergiat interaksi dengan Jepun dan Korea Selatan. Amalan itu semata-mata lakonan politik yang tiada maknanya.

Padahal majoriti negara Asia Pasifik memahami dengan jelas muslihat AS dan NATO, dan mengatakan 'tidak' kepada kehadiran mereka yang bakal menyebabkan rantau berkenaan terdedah kepada musibah.

Di mata NATO pula, Korea Selatan dan Jepun adalah kunci bagi membantu pakatan itu mencapai status hegemoni. Namun, dua negara Asia itu perlu menyedari bahawa menari mengikut rentak NATO umpama membawa serigala masuk ke kandang, yang pastinya akan ditelan padah.

Cubaan NATO untuk menghasut konfrontasi di Asia Pasifik takkan berjaya. Rantau Asia Pasifik bukan medan perlawanan bagi kuasa besar. Sebarang modus operandi untuk mencetuskan ‘Perang Dingin baharu’ nescaya ditolak rakyat serantau dan juga zaman semasa.