Bawa Serigala ke Kandang, Campak Diri dalam Kebinasaan

2023-02-03 14:53:24  CRI
Share with:

Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida dalam pertemuan empat mata bersama Setiausaha Agung Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) Jens Stoltenberg, meluahkan hasratnya untuk menganggotai Majlis Atlantik Utara (NAC) dan mesyuarat Ketua Pertahanan NATO secara berkala.

Negara Asia itu mengesahkan dirinya akan mengambil bahagian dalam kerjasama pertahanan antara kedua-dua pihak di Asia Pasifik.

Keputusan Fumio itu menunjukkan apa yang diagak-agak dunia luar adalah benar, yakni sesetengah pihak di Jepun yang mengejar laba politik demi memenuhi selera peribadi, sedang bersekongkol dengan kuasa luar, menyebabkan Asia Pasifik terdedah kepada konflik dan konfrontasi.

Kelakuan tersebut umpama membawa serigala masuk ke kandang.

Didorong oleh Amerika Syarikat (AS), NATO terus-menerus memperluas tentakelnya ke Asia Pasifik dengan niat ingin membangunkan ‘NATO versi Asia Pasifik’, dan Jepun dijadikan buah caturnya.

Ikatan yang makin rapat antara kedua-dua pihak itu bukan sekadar terletak pada fakta bahawa Jepun pengikut setia AS, bahkan juga negara Asia itu ‘bercita-cita’ menjadi sebuah kuasa tentera, yang memerlukan sokongan NATO dari segi pertahanan.

Puak sayap kanan Jepun merasai tibanya masa dan peluang untuk bangkit semula sejurus selepas AS melabelkan China sebagai pesaing utama.

Landskap politik di negara itu berubah menjadi semakin konservatif, dan dasarnya terhadap China tidak lagi seperti dulu, yang secara relatifnya rasional dan pragmatik.

Lantaran itu, Jepun menjadi antara negara Asia yang paling lantang menggembar-gemburkan teori ‘ancaman China’.

Kumpulan ekstrem kanan kini menunggu-nunggu kesempatan untuk mencetuskan kacau-bilau di Asia Pasifik, hanya ingin menghidupkan semula militarisme.

Jikalau degil berbuat sedemikian, ia nescaya mencampakkan diri sendiri ke dalam kebinasaan.