AS Tidak Layak Persoal Dasar Keagamaan China

2023-02-04 14:59:03  CRI
Share with:

Amerika Syarikat (AS) tidak layak menuding jari dan mempersoalkan dasar keagamaan yang diamalkan China.

Bantahan itu dinyatakan jurucakap Kementerian Luar Mao Ning susulan kata-kata fitnah Setiausaha Negara AS Antony Blinken menyasar wilayah Xinjiang.

Dilaporkan, Blinken ketika berucap pada Sidang Kemuncak Kebebasan Beragama Antarabangsa mendakwa pihaknya pada November lalu menggolongkan sedozen negara sebagai ‘Countries of Particular Concern’ dengan dalih pencabulan hak kebebasan beragama, termasuk China yang dituduh ‘melakukan genosid secara berterusan’ terhadap etnik Uygur.

Untuk itu, Mao membalas dengan mengatakan kerajaan China melindungi hak kebebasan beragama rakyat di sisi undang-undang dan rakyat pelbagai etnik menikmati kebebasan beragama.

“Ambil Xinjiang sebagai contoh, terdapat lebih 24,000 tempat ibadat di sana. Dan di lingkungan negara, penganut agama berjumlah hampir 200 juta dan kakitangan hal ehwal agama seramai lebih 380,000.

“Namun, gambaran di AS agak berbeza: 75 peratus Muslim di negara itu berpendapat bahawa wujudnya diskriminasi serius terhadap kaum Muslim dalam kalangan masyarakat,” kata Mao dalam sidang media di Beijing, pada Jumaat.