China Pulihkan Perkhidmatan Pelancongan ke Luar Negara

2023-02-07 13:06:23  CRI
Share with:

Notis kebenaran penyambungan semula perkhidmatan pelancongan ke luar negara yang diumumkan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan China secara rasminya berkuatkuasa pada Isnin.

Ia sekali gus menyaksikan syarikat dan agensi pelancongan dalam dan luar talian tempatan menyambung semula operasi masing-masing.

Kesemua syarikat tersebut memulakan semula pelancongan secara berperingkat, dengan termasuk menawarkan pakej ‘tiket penerbangan + hotel’ ke 20 negara.

Pada awal pagi Isnin, satu kumpulan pelancong berkumpul di Terminal 3 Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing untuk berlepas ke Singapura.

Ketua bahagian perkhidmatan pelancongan Kumpulan Pelancongan China, Lei Haisu memberitahu bahawa ia merupakan kumpulan pelancongan ke luar negara yang pertama mereka sejak tiga tahun lalu.

“Kami memberi lebih perhatian kepada produk dan perkhidmatan pelancongan berdasarkan pelancongan yang sihat, selamat, dan selesa,” ujarnya.

Selain Beijing, hampir 50 pelancong berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Baiyun Guangzhou, pada Ahad malam untuk berlepas awal pagi keesokan harinya ke Dubai, Abu Dhabi dan kawasan lain di Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Difahamkan, terdapat hampir 160 pelancong dari enam kumpulan pelancong di Guangzhou berlepas ke luar negara pada Isnin denga 80 peratus daripada mereka merupakan pesara.

Selain itu, pelabuhan Huanggang di Shenzhen, Guangdong iaitu tempat lawatan berkumpulan dan bas penumpang yang paling kerap keluar masuk pada masa lalu kini turut tidak memerlukan pelancong untuk melaksanakan mekanisme tempahan dan hanya perlu mengisytiharkan keadaan kesihatan mereka lebih awal, serta tiada lagi had bagi kuota pelepasan kastam.