Pengangkutan Kereta Api China-Laos-Thailand Mula Dilancarkan

2023-02-08 17:10:44  CRI
Share with:

Kereta api pengangkutan antarabangsa China-Laos iaitu Lanmei (Lancang-Mekong) Express Line yang membawa 286 tan sayur-sayuran segar dalam 19 kontena rantaian sejuk mula bergerak dari Stesen Pusat Kontena Barat Wangjiaying Kunming pada Selasa dan dijangka tiba di Bangkok, Thailand dalam tempoh 55 jam.

Pengoperasian kereta api itu turut menandakan pelancaran kereta api pengangkutan pergi balik "China-Laos-Thailand", sekali gus membina saluran logistik rantaian sejuk baharu yang lebih cekap dan stabil, serta menyuntik momentum pertumbuhan baharu demi kerjasama ekonomi dan perdagangan China-ASEAN.

Difahamkan, kereta api itu akan bergerak menuju ke Stesen Vientiane Selatan di Laos, sebelum bertolak ke Bangkok melalui kereta api tolok meter Thailand.

Cara ini adalah sehari lebih pendek daripada penghantaran sebelumnya, yang menggunakan mod pengangkutan bersegmen kereta api campur jalan raya, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan lebih daripada 20%.

Sementara itu, buah-buahan bermusim seperti longan dan durian Thailand juga akan dihantar dalam perjalanan pulang yang mampu mengurangkan masa pengangkutan dan kos logistik.

Untuk rekod, pengangkutan kargo rentas sempadan landasan Kereta Api China-Laos telah meliputi negara-negara terlibat inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) termasuk Laos, Thailand, Myanmar, Malaysia, Kemboja, Vietnam, Bangladesh dan Singapura. Barangan pengangkutan telah berkembang daripada lebih daripada 10 jenis pada awal pembukaan kepada lebih daripada 1,200 jenis pada masa ini.