Temui Sahabat Sejati Ketika Waktu Paling Sulit

2023-02-09 15:48:06  CRI
Share with:

Gempa bumi berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda Turkiye pada Isnin lalu mengakibatkan jumlah kematian dan kecederaan serta kerugiaan harta yang besar.

Bantuan kerajaan China dengan kadar segera untuk menghantar pasukan penyelamat ke negara itu bagi menjalankan operasi penyelamat disambut baik dan dihargai oleh Duta Besar Turkiye ke China, Abdulkadir Emin Önen yang menyertai majlis penghantaran pasukan penyelamat China.

“Turkiye dan China merupakan dua negara yang saling membantu ketika menghadapi kesukaran.

“Bagi pihak kerajaan dan rakyat Turkiye, saya mengucapkan terima kasih atas bantuan kerajaan dan rakyat China,” ujar beliau.

Sejak mula menyandang jawatan duta besar ke China pada 2017, Emin Önen telah menyaksikan bantuan China terhadap negaranya tatkala dilanda pandemik COVID-19.

Menurutnya, China berkongsi dengan cepat tentang pengalaman melawan wabak dan menyediakan bantuan dalam pelbagai cara termasuk vaksin kepada Turkiye.

“Setelah gempa bumi kali ini berlaku, China segera menghantar pasukan penyelamat dan menyediakan bantuan kecemasan.

“Bantuan China pada saat yang sulit membuatkan hati rakyat Turkiye tersentuh dan tindakan China membuktikan pepatah Turkiye ‘menemui sahabat yang sejati pada waktu yang paling sulit’ adalah benar”, kata Emin Önen.

Difahamkan, pasukan penyelamat China merupakan pasukan pencari dan penyelamat kota beralatan berat antarabangsa yang disahkan oleh Petubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta turut dilengkapi dengan perkakas canggih dan anggota yang berpengalaman.

Sebagai pasukan SAR profesional kota antarabangsa China yang pertama menjalankan misi di luar negara, pasukan itu terdiri daripada 82 anggota dari Pasukan Bomba dan Penyelamatan Beijing, Pusat SAR Kecemasan Gempa Bumi China dan Hospital Am Kecemasan.

Antara yang dibawa bersama-sama pasukan yang mampu menjalankan operasi di dua tempat secara serentak itu adalah barang-barang untuk kegunaan SAR, peralatan komunikasi dan perubatan seberat 20 tan serta empat ekor anjing pengesan.

Tepat pukul 1.30 pagi tadi, pasukan penyelamat China bekerjasama dengan pasukan penyelamat tempatan berjaya menyelamatkan seorang ibu mengandung dari runtuhan sebuah bangunan yang mempunyai lapan tingkat.