China, Thailand Perkukuh Hubungan Segenap Aspek

2023-02-14 14:57:11  CRI
Share with:

China berhasrat memperkukuh jalinan kerjasama dengan Thailand pada segenap peringkat dan aspek, kata Menteri Luar Qin Gang.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Thailand, Don Pramudwinai di Beijing, pada Isnin.

Ketika pertemuan itu berlangsung, Qin mengesyorkan supaya kedua-dua negara mengekalkan pertukaran lawatan peringkat tinggi bagi meningkatkan lagi rasa saling percaya dalam bidang politik.

“Kerjasama pragmatik antara kedua-dua pihak diharap melonjak ke tahap baharu dan program pertukaran sosiobudaya beroleh hasil,” katanya lagi.

Qin turut berharap agar China dan Thailand terus sehaluan dalam menggerakkan pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global dan Inisiatif Keselamatan Global.

“Konsensus yang dicapai pada sidang kemuncak khas sempena memperingati ulang tahun ke-30 hubungan dialog China-ASEAN, perlu dilaksanakan sepenuhnya dan memastikan kerjasama pelbagai hala mencapai kemajuan baharu,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Don Pramudwinai berkata Thailand menyokong penuh dasar satu China dan dua inisiatif berkenaan.

“Saya berharap kedua-dua negara meneruskan program pertukaran membabitkan semua peringkat, dan memperkasa kerjasama dalam pelbagai bidang,” ujar beliau.