China Komited Bantu Rakyat Turkiye dan Syria Harungi Detik Sukar

2023-02-14 14:59:56  CRI
Share with:

China akan berganding bahu dengan masyarakat antarabangsa bagi membantu rakyat Turkiye dan Syria mengatasi bencana gempa dan membina semula kampung halaman mereka secepat mungkin, kata jurucakap Kementerian Luar Wang Wenbin.

Menurut beliau, barangan bantuan kumpulan pertama termasuk selimut dan khemah yang disumbangkan kerajaan China untuk mangsa gempa bumi Turkiye sudah tiba di Istanbul pada hujung minggu lalu.

“Pasukan penyelamat yang dihantar kerajaan China dan pasukan respons kecemasan awam berjaya menyelamatkan lebih 20 penduduk.

“Barang bantuan yang dihulurkan China termasuk mesin elektrokardiogram, alat diagnostik ultrasonik, kenderaan perubatan dan katil hospital manual pula akan dihantar dalam minggu ini,” katanya semasa taklimat media pada Isnin.

Tambah beliau, China juga akan mempercepat pelaksanaan program bantuan bahan makanan.

Difahamkan, sebanyak 220 tan gandum telah dihantar ke Syria sementara penghantaran membabitkan 3,000 tan beras dan gandum akan dilakukan dalam bulan ini.

Selain itu, peralatan perubatan kumpulan pertama yang disumbangkan Persatuan Palang Merah China sudah tiba di Damsyik, disusuli barang bantuan kemanusiaan kumpulan kedua yang dihantar dari Beijing pada Isnin.

Barang bantuan berkenaan merangkumi khemah, kit kegunaan isi rumah, jaket tahan sejuk dan ubat-ubatan yang boleh memenuhi keperluan lebih 10,000 mangsa gempa.

Dalam perkembangan terkini, barang bantuan yang disumbangkan kerajaan China untuk mangsa gempa Syria diangkut dari Nanjing menggunakan pesawat sewa khas pagi tadi.

Bekalan itu melibatkan 30,000 kit kecemasan, 20,000 selimut, 10,000 baju tebal, 300 khemah, alat bantu pernafasan dan sebagainya.