Eksport Kereta Tenaga Alternatif China Meningkat Ketara

2023-02-16 14:17:25  CRI
Share with:

Eksport kereta tenaga alternatif China terus mempamerkan prestasi cemerlang pada 2022 dengan jumlah keseluruhannya sekitar 679,000.

Angka itu menyaksikan peningkatan 1.2 kali ganda berbanding tahun sebelumnya, menurut Persekutuan Industri Permesinan (CMIF).

Data berkenaan menunjukkan jumlah pengeluaran dan jualan kereta tenaga alternatif masing-masing mencecah 7.05 juta dan 6.88 juta pada 2022, iaitu melonjak sebanyak 96.9 peratus dan 93.4 peratus.

Naib Ketua Setiausaha Persatuan Pengilang Automobil China (CAAM), Chen Shihua berkata eksport automobil tenaga alternatif di China berkembang pesat pada tahun-tahun kebelakangan ini.

Menurutnya, prestasi itu didorong oleh kelebihan daya saing kereta jenama sendiri dalam bidang teknologi dan pemanduan pintar.

“Dulu eksport kereta konvensional buatan China tertumpu pada Amerika Selatan dan Afrika, dan sekarang kereta tenaga alternatif berjaya menembusi pasaran baharu seperti Eropah.

“Kereta berkenaan lebih berdaya saing dari segi elektrifikasi dan kepintaran, selain penyelidikan dan pembangunan (R&D) dijalankan lebih cepat berbanding syarikat modal asing,” ujar Chen.

Pada masa sama, perkembangan pesat industri bateri turut membantu mengoptimumkan kapasiti jarak pemanduan kereta serta menjimatkan masa mengecas, sekali gus menjadikannya lebih berdaya saing dari sudut harga.

Untuk rekod, jumlah eksport automobil buatan China mencecah angka tiga juta pada tahun lepas.