China Fokus Usaha ke Arah Rundingan Damai: Wang Yi

2023-02-20 14:19:08  CRI
Share with:

Anggota Biro Politik Jawatankuasa Pusat Parti Komunis China (PKC), Wang Yi menyifatkan krisis Ukraine sebagai isu yang tidak diingini daripada berlaku oleh semua pihak.

 

Beliau yang juga merangkap Ketua Pejabat Jawatankuasa Hal Ehwal Luar PKC berkata, China turut sama berasa bimbang seperti pihak lain dengan konflik yang semakin parah dan berlarutan.

 

“Segala usaha yang dilakukan China adalah untuk menggalakkan pihak terbabit mengadakan rundingan demi kedamaian,” ujar Wang.

 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung isu Ukraine selepas menyampaikan ucaptamanya dalam Persidangan Keselamatan Munich, pada Sabtu.

 

Wang berkata, pada hari kedua konflik itu tercetus, Presiden China Xi Jinping telah pun mencadangkan agar menyelesaikan persengketaan secara politik melalui rundingan.

“Umum mengetahui bahawa Rusia dan Ukraine pernah mengadakan rundingan untuk beberapa pusingan dan telah mencapai kemajuan penting dengan rangka perjanjian damai sudah terbentuk.

 

“Namun, agak kesal susulan rundingan damai itu terputus dan semua usaha itu menjadi sia-sia.

 

“Kami (China) tidak mengetahui sebabnya, (dan) ia nampaknya seperti ada kuasa yang mahu melihat rundingan itu tidak berjaya,” tambah beliau.

 

Wang turut menyatakan pihak-pihak tersebut sebagai tidak mempedulikan keselamatan nyawa rakyat Ukraine serta kerugian yang dialami Eropah, dan sebaliknya mempunyai matlamat strategik yang lebih besar.

 

Menurut beliau, China akan mengeluarkan dokumen mengenai pendirian China dalam menyelesaikan krisis Ukraine setelah setahun krisis Ukraine berlanjutan.

 

“Dokumen itu akan memberi lagi penegasan tentang saranan penting Presiden Xi termasuk kedaulatan dan keutuhan wilayan pelbagai negara mesti dihormati, prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) perlu dipatuhi, keprihatinan keselamatan pelbagai negara yang rasional perlu dipentingkan dan semua usaha yang beruntung kepada penyelesaian krisis secara damai seharusnya disokong,” kata Wang.

 

Tegas beliau, China juga menekankan bahawa perang nuklear perlu dielakkan dan menyeru agar keselamatan kelengkapan nuklear kegunaan awam terjamin.

 

Beliau turut memberitahu bahawa China menentang tindakan serangan terhadap loji janakuasa nuklear dan juga berharap agar semua pihak dapat bersama-sama menentang penggunaan senjata kimia dan biologi.