China, Greece Galak Saling Belajar Sesama Tamadun

2023-02-21 12:28:53  CRI
Share with:

Presiden Xi Jinping berharap Pusat Tamadun Purba Cina dan Yunani dapat berdedikasi untuk menggalakkan interaksi dan saling belajar sesama tamadun.

Harapan itu diluahkan beliau menerusi surat balas kepada Profesor Stelios Virvidakis dari Universiti Athens dan empat orang sarjana Greece yang lain, baru-baru ini.

Dalam surat itu, Xi menyifatkan tamadun Cina sebagai agak lama bertahan dalam sejarah, manakala tamadun Yunani yang mempunyai pengaruh agak besar.

Menurut beliau, lebih daripada 2,000 tahun yang lalu, kedua-dua tamadun itu saling menyerikan di benua Eurasia sehingga memberikan sumbangan signifikan kepada evolusi tamadun manusia.

Xi menyatakan besarnya makna penubuhan pusat berkenaan untuk menggerakkan interaksi dan pertukaran antara tamadun China-Greece serta pembangunan tamadun negara lain.

Beliau menegaskan, sejarah membuktikan bahawa tamadun manusia boleh terus berkembang maju dan makmur dengan berpegang kepada keterangkuman dan keterbukaan.

Beberapa hari lalu, seramai lima sarjana Greece, antaranya Profesor Virvidakis, menulis surat kepada Xi untuk menyatakan penghargaan dan pengiktirafan mereka terhadap konsep tamadun yang disyorkan Presiden China itu, selain memperkenalkan persiapan dan rancangan pembangunan pusat tamadun berkenaan.

Dilaporkan, Pusat Tamadun Purba Cina dan Yunani dirasmikan di Universiti Athens pada Isnin.